3 pakej kerja Pan Borneo Sabah siap tahun ini

3 pakej kerja Pan Borneo Sabah siap tahun ini

Papar: Pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah setakat ini sudah mencapai 66.79 peratus membabitkan 15 pakej kerja yang sedang dalam pembinaan dengan tiga daripadanya dijadual siap sepenuhnya akhir tahun ini.

Tiga pakej terbabit ialah Pakej Kerja 05:
Menaiktaraf Jalan Dari Donggongon Ke Simpang Jalan Papar Spur bagi sepanjang 11.39 kilometer, Pakej Kerja 27 (Batu 32 Sandakan) sepanjang 18.1 kilometer dan Pakej Kerja 21 (Jajaran Lahad Datu Bypass) sepanjang tujuh kilometer.

Arthur (kanan) meneliti pencapaian Pakej Kerja 05, Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah di Papar.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup, berkata Pakej Kerja 05: Menaiktaraf Jalan Dari Donggongon Ke Simpang Jalan Papar Spur bagi sepanjang 11.39 kilometer kini sudah mencapai 99.1 peratus dan dijadual siap sepenuhnya bulan depan.

“Baki 0.9 peratus lagi melibatkan kerja-kerja kecil seperti pemasangan papan tanda, kerja-kerja mengecat jalan dan sebagainya,” katanya pada sidang media selepas meninjau keadaan dan status semasa pakej kerja berkenaan, hari ini.

Hadir bersama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis, Mohd Tamin Zainal; ADUN Kawang, Datuk Gulamhaidar Khan Bahadar; ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Kamaludin Ag Abas.

Arthur berkata skop Pakej Kerja 05 Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah merangkumi kerja-kerja menaik taraf jalan sedia iaitu Jalan Lama Papar-Kota Kinabalu dari Donggongon ke persimpangan Jalan Papar Spur melibatkan kerja-kerja pembentukan jalan dua lorong dua laluan.

“Skop kerja lain yang terlibat adalah pembinaan pembetung dan dua jambatan konkrit bertetulang sepanjang 150 meter merentasi Sungai Papar serta kerja-kerja turapan, kerja-kerja pembaikan dan perlindungan cerun.

“Berdasarkan kajian, dianggarkan lebih kurang 18,500 – 20,000 buah kenderaan menggunakan laluan berkenaan sehari apabila ia siap sepenuhnya kelak.

“Pengguna jalan raya akan menerima manfaat jalan raya yang lebih selesa dan selamat di samping menjimatkan masa perjalanan,” katanya.

Arthur berkata walaupun terdapat beberapa pakej kerja yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, kerajaan akan memastikan kerja pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah dilaksana mengikut skop kerja yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|