Kota Belud: Seramai 30 individu berdepan detik cemas apabila terperangkap dalam kejadian banjir di pusat pelancongan Kampung Kaung Malaan, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, kawasan berkenaan dilaporkan tiba-tiba dinaiki air berikutan kejadian kepala air akibat hujan lebat.

Difahamkan, semua mangsa membabitkan 20 pengunjung dan 10 kakitangan pusat pelancongan berkenaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.46 petang.

Katanya, sepasukan lima anggota dan pegawai bersama pacuan empat roda dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.
“Semua mangsa terperangkap telah berpindah ke tempat yang selamat sebelum pasukan bomba tiba dilokasi.
“Pasukan Bomba terus bertindak memastikan semua mangsa berada dalam keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba kemudiannya melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 4.22 petang.
-Deasoka