30 anak muda terima bantuan dana pendidikan

30 anak muda terima bantuan dana pendidikan

Penampang: Seramai 30 anak muda di daerah ini menerima bantuan dana pendidikan daripada Yayasan Bumiputera Sabah (YBS) untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi.

Bantuan berkenaan membabitkan pembayaran yuran pendaftaran, tiket penerbangan dan penginapan penuntut yang menyambung pengajian di Kuala Lumpur.

Pengerusi YBS, Senator Datuk John Ambrose berkata, yayasan ini ditubuhkan untuk memperkasakan Bumiputera di Sabah dalam pelbagai cara termasuk pendidikan.

Katanya, antara inisiatif yang dijalankan adalah meneruskan kerjasama dengan pihak City University Malaysia bagi memastikan pendidikan dapat membantu Bumiputera di Sabah.

“Kebanyakan penerima bantuan kali ini adalah mereka yang difahami berdepan kekangan kewangan untuk memasukkan anak-anak mereka ke pusat pengajian tinggi.

“Setakat ini, sebanyak 21 daerah di seluruh Sabah sudah ditawarkan dengan program bantuan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Bantuan Pendidikan Pelajar-Pelajar bagi melanjutkan pengajian di peringkat IPTA dan IPTS, di Buhavan Square di sini, semalam.

John berkata, kebanyakan penerima kali ini adalah dalam kalangan warga Penampang.

Sementara itu, hadir menyampaikan bantuan berkenaan adalah Pembantu Menteri di Kementerian Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan, Datuk Fairuz Renddan yang mewakili Datuk Arifin Mohd Arif.

Fairuz berkata, semua bantuan ini dapat direalisasikan dengan negara yang mempunyai kerajaan stabil.

“Kita bersyukur kerana negara mempunyai kerajaan yang stabil bagi memastikan generasi masa depan Sabah dapat melanjutkan pengajian dan seterusnya melahirkan modal insan yang berkualiti,” katanya.

“Kerajaan Negeri yang dipimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) mampu membantu pelajar, guru dan ibu bapa selama ini melalui 14 program dengan bajet keseluruhan mencecah lebih RM80 juta,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|