Sandakan: Sebanyak 26 rumah rosak akibat angin kencang dan hujan lebat dalam kejadian di Kampung Seri Manis Gum – Gum, Batu 16, di sini, lewat petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang itu, kerosakan dialami kebanyakan rumah apabila bumbung diterbangkan angin kencang yang berlaku sekelip mata.
Seorang penduduk, Bidang Randa berkata, ketika kejadian dia dan isterinya berada di kebun yang terletak di belakang rumah mereka.
“Tiba-tiba angin bertiup dengan kencang serta bunyi yang sangat kuat. Ketika itu atap rumah di bahagian dapur dan tandas diterbangkan angin.
“Saya dan isteri segera naik ke rumah dan menyelamat anak dan cucu kami,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Tambahnya, selain itu bumbung di bahagian bilik mandi turut tercabut
“Tilam dan pakaian semuanya basah. Jadi saya gunakan zink yang terbang untuk menutup semula kerana risau akan dibasahi hujan,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Lorenso Togli, berkata ketika kejadian dia dan keluarga sedang berehat di rumah tamu rumahnya.
Katanya, mereka kemudian dikejutkan bunyi angin kuat serta hujan lalu keluar untuk memeriksa apa yang berlaku.
“Kami lihat pokok durian di depan rumah tumbang dan tidak lama lepas itu, bumbung rumah kami turut diterbangkan angin kencang.
“Kami tidak dapat berbuat apa-apa dan hanya mampu berlindung. Kejadian ini sangat menyedihkan kerana kami dalam proses untuk membaiki pulih tetapi belum siap sepenuhnya ia sudah rosak,” katanya.
-Deasoka