236 PATI dihantar pulang ke negara asal

236 PATI dihantar pulang ke negara asal

Tawau: Seramai 236 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan di Depot Imigresen di negeri ini, dihantar pulang ke negara asal mereka di Indonesia melalui jalan laut, hari ini.

Semua PATI itu dihantar pulang menerusi feri dari Terminal Feri Penumpang (TFP) Tawau ke Pelabuhan Tunon Taka, Nunukan, Kalimantan Utara (Kaltara), Indonesia.

PATI warga Indonesia dihantar pulang ke negara asal mereka menggunakan feri dari Terminal Feri Tawau.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, Sharifah Sitti Saleha Habib Yusof berkata, proses penghantaran pulang PATI melalui jalan laut adalah kali pertama dilakukan pada tahun ini.

Katanya, penghantaran kali ini membabitkan seramai 179 lelaki, 40 wanita dan 17 kanak-kanak yang telah disahkan negatif COVID-19 serta lengkap vaksinasi.

“Proses penghantaran kali kedua akan dilaksanakan pada pertengahan Ramadan akan datang yang membabitkan lebih 200 orang lagi yang masih ditahan di Depot Imigresen ketika ini.

“Kita mengharapkan dengan kerjasama yang baik dengan pihak Konsulat Republik Indonesia (KRI), penghantaran seterusnya dapat dilakukan dengan lancar,” katanya ketika ditemui di TFP Tawau, di sini hari ini.

Beliau berkata, setakat ini, seramai 706 orang warga Indonesia yang masih ditahan di empat Depot Imigersen di Sabah selepas pengusiran hari ini berjaya dilakukan.

“Kita akan menghantar semua tahanan terbabit secara berperingkat melalui kerjasama pihak konsulat Indonesia.

“JIM Sabah sangat menghargai kerjasama pihak KRI kerana menjaga kebajikan dan bertanggungjawab terhadap rakyatnya yang berada di Depot Imigresen,” katanya.

Dalam pada itu, Sharifah menjelaskan pihaknya sudah menghantar pulang seramai 78 PATI daripada pelbagai negara melalui laluan udara.

“Depot Imigresen kini masih menempatkan seramai 6,641 orang rakyat asing iaitu 5,911 rakyat Filipina, 706 Indonesia dan 24 lain-lain negara yang menunggu dihantar pulang ke negara asal,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|