12 projek kecil pembangunan pelancongan diluluskan di Tongod

12 projek kecil pembangunan pelancongan diluluskan di Tongod

Tongod: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri (KePKAS) meluluskan sekurang-kurangnya 12 projek kecil pembangunan pelancongan di daerah Tongod.

Menterinya, Datuk Jafry Arifin, berkata ia membabitkan projek kecil dengan kos pembangunan di bawah RM20,000 yang diberikan kepada pengusaha pelancongan untuk menaik taraf kemudahan pelabcongan sedia ada.

Jafry (kanan) bersama Bung Moktar (tengah) ketika taklimat pembangunan daerah Tongod di Pejabat Daerah Tongod.

“Antara yang diluluskan termasuk pemilik Rumah Besar Cina di Tongod yang menerima peruntukan kira-kira RM20,000 bagi menaik taraf rumah yang dijadikan tempat untuk pameran sejarah dan warisan peninggalan budaya masyarakat Cina,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Taklimat Pembangunan Daerah bersama Pegawai Daerah Tongod, Mohd Fauzi Norbeh dan agensi kerajaan negeri di daerah ini yang turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya negeri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, semalam.

Jafry berkata, Majlis Daerah Tongod juga menerima peruntukan kira-kira RM40,000 bagi menaik taraf tugu Heart of Sabah yang menjadi mercu tanda bagi daerah Tongod.

Jelasnya, KePKAS sentiasa bersedia memberikan bantuan untuk membangunkan industri pelancongan di Tongod, selain membantu memasarkan produk yang berpotensi di seluruh negara.

Sementara itu, beliau berkata Jawatankuasa Tindakan Pelancongan Daerah Tongod perlu diwujudkan bagi membangunkan sektor pelancongan luar bandar terutama pelancongan berasaskan komuniti di daerah ini.

“Jawatankuasa itu juga akan membantu kementerian dalam merancang dan melaksanakan program pembangunan termasuk naik taraf infrastruktur asas pelancongan agar lebih berdaya saing.

“Selain itu, ia bakal memberi kemudahan terutama kepada pelancong tempatan dan asing untuk mendapatkan maklumat mengenai keistimewaan setiap kawasan pelancongan yang ada,” katanya.

Dalam pada itu, Jafry turut menggalakkan penduduk kampung untuk membangunkan produk pelancongan yang berpotensi di kawasan masing-masing.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|