WARISAN ambil tindakan undang-undang terhadap Mohamaddin

WARISAN ambil tindakan undang-undang terhadap Mohamaddin

Lahad Datu: Parti Warisan Sabah (WARISAN) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi yang mengumumkan keluar parti semalam.

Timbalan Ketua Bahagian WARISAN Lahad Datu merangkap Ahli Majlis Tertinggi WARISAN, Assaffal P Alian, tindakan itu selaras dengan peruntukan undang-undang dan perlembagaan parti.

“Apabila keluar parti maka kita terikat kepada perlembagaan parti dan kita serah kepada kepimpinan pusat untuk sebarang tindakan dan ia bergantung kepada keputusan presiden parti.

“Sebagai parti yang berpegang teguh kepada prinsip dan juga disiplin, saya rasa apa juga tindakan yang akan dibuat masa akan datang mestilah berlandaskan kepada perlembagaan parti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Assafal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tungku kini memangku Ketua WARISAN bahagian Lahad Datu bagi mengisi kekosongan berikutan tindakan Mohammadin keluar parti.

Pelantikannya diumumkan oleh Ketua Penerangan WARISAN, Datuk Awang Ahmad Sah Sahari dalam satu sidang media di Lahad Datu, hari ini.

Assafal berkata, kepemimpinan WARISAN Lahad Datu akan terus setia dan kekal bersama Presiden, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Kita akan menyerahkan kepada kebijaksanaan presiden dan majlis tertinggi parti untuk melantik Ketua Bahagian sebagai caretaker sehinggalah pemilihan ketua bahagian dibuat pada masyuarat perwakilan pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Awang Ahmad Sah berkata tindakan Mohamaddin keluar parti tidak memberi sebarang kesan kepada parti itu.

Katanya, tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama itu tidak mengejutkan dan sudah lama dijangka berikutan tindak tanduknya sebelum ini yang menjauhkan diri dan tidak memperdulikan sebarang aktiviti politik yang dirancang pimpinan parti pusat di Lahad Datu.

Beliau berkata, Mohammadin juga sudah lama tidak mengendahkan parti itu termasuk Presiden, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Jadi benda ini sudah lama kita jangka tetapi ingin dimaklumkan bahawa walaupun Datuk Mohammadin Ketapi meninggalkan kita WARISAN di bahagian Lahad Datu mahupun di peringkat negeri tetap kukuh dalam perjuangan ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|