Tekong nekad terjun laut

Tekong nekad terjun laut

Labuan: Tindakan ‘membunuh diri’ apabila seorang tekong bot terjun ke laut bagi mengelak ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) ketika cuba menyeludup keluar minuman keras tidak bercukai di perairan Mempakul, di sini, awal pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Nudin Jusoh berkata, ketika sedang melakukan rondaan rutin, pasukan operasi mengesan pergerakan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan di perairan berkenaan, kira-kira jam 1 pagi.

Katanya, menyedari kehadiran aset maritim, bot suspek memecut laju menuju daratan lalu bertindak nekad terjun ke laut dengan meninggalkan bot tersadai ke kawasan paya bakau di 0.45 batu nautika barat laut Pulau Balangkasan.

“Pemeriksaan ke atas bot tanpa nombor pendaftaran menemukan 1,680 tin minuman keras tidak bercukai disorokkan di bawa kanvas biru dipercayai diseludup keluar dari wilayah ini.

“Bot serta semua rampasan dibawa ke Jeti Maritim Labuan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Nudin berkata, gerakan mengesan dan memburu suspek akan dilaksanakan berdasarkan kepada hasil siasatan.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM40,000 termasuk bot serta enjin.

“Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967,” katanya.

Sementara itu, Nudin berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berkaitan kejadian ini diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Labuan di talian 087-457999.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|