Wanita dipenjara setahun, guna nombor MyKad orang lain ambil vaksin

Wanita dipenjara setahun, guna nombor MyKad orang lain ambil vaksin

Lahad Datu: Seorang wanita dijatuhi hukuman penjara setahun selepas mengaku bersalah menggunakan MyKad palsu dan nombor MyKad milik penduduk tempatan untuk mengambil suntikan vaksin di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Tertuduh Marajum Pengiran, 56, membuat pengakuan itu selepas tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ryan Sagirann Rayner Jr.


Wanita mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, Lahad Datu, kerana menggunakan MyKad palsu dan nombor MyKad milik penduduk tempatan.

Majistret Ryan Sagiramm kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara setahun secara serentak untuk ketiga-tiga pertuduhan bermula dari tarikh ditangkap.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menggunakan salinan MyKad palsu atas nama Marujum binti Pengiran.

Manakala bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh disyaki menggunakan kad pengenalan milik orang lain bagi mendapatkan suntikan dos pertama dan kedua vaksinasi Covid-19 pada 17 Ogos dan 7 September tahun ini di Fasiliti Pemberian Vaksin DAVTC, Lahad Datu.

Tertuduh dituduh mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) kerana dengan sengaja memiliki salinan kad pengenalan palsu atas nama Marujum binti Pengiran sebagai dokumen pengenalan dirinya.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara, Mohd Naser Bin Mohd Nadzeri dan Nurul Fariza Binti Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Abdul Karim dari Sazalye Donol, Muhammad & Co.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|