Tolonglah selesaikan masalah air, penghuni UCA2 amat tertekan

Tolonglah selesaikan masalah air, penghuni UCA2 amat tertekan

Kota Kinabalu: Penduduk University Condo Apartment 2 (UCA2) meminta pihak pengurusan perumahan dan agensi kerajaan berkaitan supaya membantu menyelesaikan masalah bekalan air yang dihadapi di kawasan perumahan berkenaan.

Masalah bekalan air yang menyukarkan penduduk sejak enam bulan lalu itu dilaporkan semakin meruncing apabila ia terputus sepenuhnya, sejak 10 hari lalu.

Salah seorang penduduk Leha Lee, 34, berkata, keadaan bekalan air yang kerap terputus itu sememangnya sangat menyukarkan kehidupan seharian penduduk perumahan berkenaan.

Namun katanya, ia semakin melarat apabila bekalan air terus terputus sepenuhnya sejak 10 hari lalu.

“Disebabkan bekalan air terputus, penduduk terpaksa mengambil inisiatif sendiri untuk memastikan ada bekalan air di rumah masing-masing.

“Ada penduduk di sini juga terbeban kerana terpaksa mengangkat air naik ke rumah setinggi empat tingkat,” katanya ketika ditemui di UCA2, hari ini.

Leha berkata, walaupun ada kalanya air dibekalkan secara catuan, namun pihak pengurusan seharusnya mencari jalan penyelesaian sepenuhnya terutamanya di kawasan perumahan yang membabitkan banyak unit rumah seperti UCA2.

“Keadaan ini sangat menyukarkan, lebih-lebih lagi apabila ada ahli keluarga yang sedang sarat mengandung atau sakit yang sememangnya memerlukan bekalan air secara berterusan.

“Kami mandi pun terpaksa menggunakan sedikit air dan kadang-kadang hanya boleh menggunakan dua gayung saja. Kami benar-benar tertekan dengan keadaan ini,” katanya.

Menurutnya, sampai bila kami harus berdepan dengan masalah ini, siapa yang harus dipersalahkan apabila pihak pengurusan dan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) seperti tolak menolak untuk mengambil tanggungjawab berkenaan.

Seorang penduduk Ganesha Rao berkata, dia berharap masalah bekalan air yang berlanjutan sejak beberapa bulan ini dapat diselesaikan secepat mungkin.

Katanya, keadaan itu bukan saja menyukarkan kehidupan seharian malah mengganggu dan memberi tekanan kerja kepadanya.

“Saya sangat terganggu dengan masalah yang timbul ini. Mengapa sukar untuk kami mendapat jawapan tepat daripada pengurusan atau pihak berkaitan berhubung apa punca sebenar kejadian.

“Saya bertambah sedih apabila kedua ibu bapa yang datang ke sini untuk melawat saya juga terpaksa berdepan kesukaran ketiadaan bekalan air,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Adli Koshim berkata, pihak pengurusan sepatutnya bekerjasama rapat dengan kumpulan penghuni untuk menjelaskan perkara sebenar.

Katanya, sebagai penduduk di kawasan perumahan berkenaan, mereka berhak untuk mengetahui apa langkah pihak pengurusan untuk menyelesaikan masalah ini secara jangka masa pendek dan panjang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|