Upacara pengebumian cetus kluster Covid-19

Upacara pengebumian cetus kluster Covid-19

Kota Kinabalu: Upacara pengebumian ahli keluarga dipercayai mencetuskan kluster baharu Covid-19 yang dilaporkan di daerah Tenom, hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata Kluster Alab Senagang itu disyaki disebabkan aktiviti berkumpul ketika hari pengebumian.

Katanya, jangkitan dalam komuniti itu dikesan selepas seorang wanita tempatan berumur 37 tahun di Kampung Alab Senagang, disahkan positif Covid-19 di Hospital Tenom pada 14 Oktober lalu.

“Berdasarkan siasatan awal, penularan jangkitan disyaki berpunca daripada upacara pengebumian ibu mentua kepada kes indeks yang meninggal disebabkan Covid-19 pada 10 Oktober lalu.

“Jenazah ibu mentuanya dibawa balik ke Kampung Alab Senagang pada 11 Oktober dan seramai 20 ahli keluarga dilaporkan berkumpul ketika jenazah dibawa pulang ke rumah kes indeks, namun siasatan lanjut masih dijalankan ” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Beliau berkata, sehingga hari ini seramai 88 individu disaring berkaitan kluster itu dengan 50 daripadanya dikesan positif Covid-19.

Semalam, dua kluster baharu dilaporkan di Beaufort, masing-masing membabitkan jangkitan di tempat kerja dan komuniti, namun kedua-duanya juga dikaitkan dengan aktiviti berkumpul ramai-ramai.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|