UMNO Pensiangan tawar diri bertanding pada PRU-15

UMNO Pensiangan tawar diri bertanding pada PRU-15

Kota Kinabalu: UMNO Bahagian Pensiangan menawarkan diri untuk bertanding di kerusi Parlimen Pensiangan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Perkara itu disuarakan ketika pembentangan usul UMNO Pensiangan pada Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian yang disempurnakan Ketua Bahagiannya, Busiau Ampirak, Sabtu lalu.

Ketika menyuarakan hasrat berkenaan, Ketua Penerangan UMNO Pensiangan, Redzwan @ Laindon Tangkong, berkata antara asas untuk UMNO Pensiangan menawarkan diri bertanding di Parlimen berkenaan termasuk mengambil kira usia bahagian itu yang sudah menjangkau 18 tahun.

Katanya, dengan usia sebegitu ia sudah cukup untuk mendewasakan ahli UMNO Pensiangan dan bersedia menjadi pemimpin untuk membawa suara rakyat kawasan berkenaan di Parlimen.

“Selama 18 tahun kita telah menyiapkan diri untuk menjadi pemimpin, maka pada hari ini telah lahir ramai pemimpin di UMNO Pensiangan ini yang layak diketengahkan sebagai calon,” katanya.

Bagaimanapun, jelasnya jika hasrat itu menjadi beban, UMNO Pensiangan tetap akur dengan keputusan kepemimpinan tertinggi parti demi setiakawan kepada rakan komponen.

“Setia kami kepada parti bukan kerana jawatan ukurannya. Bagaimanapun apa salahnya kami ahli UMNO Pensiangan dilayan seadanya. Bukan hanya dibuat kawan ketika berkempen, marilah berjuang bersama dan menikmati kemakmuran bersama-sama.

“Biarlah apa yang telah berlaku menjadi seperti ‘biduk berlalu, kiambang bertaut’. UMNO Bahagian Pensiangan ingin menjemput semua dari kalangan orang Melayu, Bumiputera Sabah, Orang Sabah untuk bersama sama kembali dalam satu perjuangan membina semula kegemilangan dan kemakmuran negara melalui perjuangan UMNO seperti sebelum ini,” katanya.

Ketika ini, Parlimen Pensiangan diwakili rakan komponen Barisan Nasional (BN) dari Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang disandang Timbalan Presidennya yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup.

Sementara itu, pada persidangan bahagian berkenaan, Redzwan berkata UMNO Pensiangan mengemukakan enam usul untuk diketengah dalam usaha memperkasa kedudukan parti itu di Sabah dan seluruh negara.

Usul pertama katanya ialah menyokong penuh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerajui tampuk pemerintahan negara.

“Pengiktirafan Naib Presiden UMNO sebagai Perdana Menteri Kesembilan adalah satu kebanggaan khususnya kepada ahli UMNO.

“Oleh yang demikian UMNO Sabah Bahagian Pensiangan memberi sokongan serta ruangan kepada Perdana Menteri untuk mentadbir serta melaksanakan agenda memulihkan negara pada era pasca Covid-19 ini sehingga PRU-15,” katanya.

Katanya usul kedua pula menjunjung institusi kepartian dan terus menyokong padu Institusi Presiden yang dipayungi Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai nakhoda UMNO.

“Perkara ini sejajar dengan mendokong Fasal 9.8.1.1 iaitu Presiden adalah pemimpin utama dan bertanggungjawab menjaga kesempurnaan parti. UMNO Sabah Bahagian Pensiangan ingin merakamkan jutaan terima kasih di atas tanggungjawab yang berjaya dipikul sehingga kini,” katanya.

Seterusnya, beliau berkata UMNO Pensiangan juga menyokong penuh dan tidak berbelah bahagi terhadap kepemimpinan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai peneraju utama UMNO Sabah.

“Kepimpinan daripada kita yang hampir tiada apa-apa sehingga menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri Sabah adalah pengorbanan yang cukup besar kepada UMNO Sabah.

“UMNO Sabah Bahagian Pensiangan mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga atas pengorbanan dan kepimpinan jitu dalam membawa UMNO Sabah ke jauh lebih baik berbanding sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata UMNO Pensiangan turut memberi kepercayaan yang tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan tertinggi UMNO dalam mengurus tadbir, merencana, mencorak dan membuat keputusan halatuju parti selagi tidak melanggar Perlembagaan UMNO.

Katanya, UMNO Pensiangan juga mengusulkan agar UMNO memformulasi budaya kebersamaan dalam gerak kerja pilihan raya daripada peringkat Pusat, negeri, bahagian, Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan peringkat lokaliti untuk bersama-sama memastikan UMNO kembali memerintah secara dominan.

“Akhir sekali, UMNO Pensiangan mengusulkan usaha ditumpukan untuk memperkasakan parti dan kesiapsiagaan seluruh jentera UMNO di semua peringkat bahagian dan cawangan bagi menghadapi PRU-15.

“UMNO perlu meneruskan kecemerlangan semula dengan konsep kebersamaan dan mengelak pergolakan apatah lagi persengketaan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|