Tiga rumah di kawasan PKPD musnah terbakar

Tiga rumah di kawasan PKPD musnah terbakar

Kota Belud: Tiga buah rumah yang diletakkan dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Taun Gusi Peninting, di sini, terbakar malam tadi.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, ketiga-tiga rumah yang menggunakan struktur kayu berkenaan musnah sepenuhnya.

Difahamkan, pelaksanaan PKPD di kampung berkenaan bermula sejak 17 Jun lalu dan dijadualkan tamat pada 30 Jun depan.

Pasukan bomba memadam kebakaran membabitkan tiga rumah yang musnah terbakar di Kampung Taun Gusi Peninting, Kota Belud. (Gambar ihsan PGO JBPM Sabah)

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.32 malam.

Katanya, sepasukan anggota dan pegawai kemudiannya dikerah ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 12 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud.

“Operasi pemadaman dijalankan dengan kekuatan seorang pegawai dan sembilan anggota bersama sebuah jentera kecemasan Fire Rescue Tender (FRT).

“Operasi turut dibantu sebuah jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dan sebuah kenderaan pacuan empat roda 4×4 Bomba jenis Toyota Vigo,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tiga rumah yang diletakkan dalam kawasan PKPD musnah terbakar.(Gambar ihsan PGO JBPM Sabah)
Tiga rumah yang diletakkan dalam kawasan PKPD musnah terbakar.(Gambar ihsan PGO JBPM Sabah)

Menurutnya, pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran pada jam 9.30 malam sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 11.33 malam.

Katanya, kebakaran membabitkan dua rumah jenis separuh kekal dan sebuah rumah jenis tidak kekal masing-masing berukuran 1,200 kaki persegi yang musnah 100 peratus.

Tiga rumah yang diletakkan dalam kawasan PKPD musnah terbakar.(Gambar ihsan PGO JBPM Sabah)

“Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan, manakala sementara punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan Bahagian Penyiasatan Kebakaran, Zon Kudat,” katanya.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|