Tiga daerah zon hijau di Sabah

Tiga daerah zon hijau di Sabah

Kota Kinabalu: Satu lagi daerah di Sabah diisytiharkan sebagai zon hijau, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak tiga daerah.

Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata Tenom merupakan daerah terkini mengikuti jejak daerah Telupid dan Beluran.

“Namun, dengan jumlah catatan sebanyak 115 kes daripada saringan kontak rapat, dapat disimpulkan masih terdapat kebarangkalian tinggi berlakunya aktiviti ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan sungguhpun pelbagai seruan dan saranan telah dilakukan oleh pihak kerajaan,” katanya.

Beliau yang juga merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata sebanyak 298 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini, manakala, dua lagi kes kematian dilaporkan masing-masing dari daerah Lahad Datu dan Papar.

Tiga daerah yang mencatatkan pertambahan kes tertinggi ialah Kota Kinabalu (67 kes), Tawau (38 kes) diikuti Keningau (37 kes).

“Antara penyumbang kepada catatan kes di Sabah pada hari ini ialah saringan kluster sedia ada, yang telah merekodkan sebanyak 94 kes iaitu 31.5 peratus dari kumulatif kes harian.

“Dengan pecahan Kluster Kayu Patikang 37 kes, Kluster Serudung Baru 21 kes, Kluster Siasai Dundau 11 kes, Kluster KKIP Empat Timur 11 kes, Kluster Tanjung Pitas tujuh kes, Kluster Lumadan lima kes, Kluster Bahtera Barat satu kes dan Kluster Limbawang satu kes.

“Selain itu, jumlah catatan kes positif pada hari ini juga dipengaruhi oleh angka yang berpunca dari saringan kontak rapat sebanyak 115 kes atau 38.5 peratus daripada kumulatif kes harian di Sabah,” katanya menerusi satu kenyataan media, pada Isnin.

Tambah beliau, saringan kluster dan saringan kontak rapat menyumbang kepada 70 peratus daripada kumulatif harian kes yang dicatatkan pada hari ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|