STB galak komuniti pelancongan luar bandar tingkatkan kemahiran

STB galak komuniti pelancongan luar bandar tingkatkan kemahiran

Kiulu: Pengusaha pelancongan luar bandar di sini digalak melengkapkan diri dengan kemahiran pengurusan risiko bagi memastikan persekitaran yang selamat kepada pengunjung mereka.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai, berkata ia penting bagi menyediakan perkhidmatan cemerlang kepada pengunjung dan memastikan sifar kemalangan di pusat pelancongan.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudyaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Joniston Bangkuai (tengah) menyampaikan sijil peserta Program Bina Kapasiti Persatuan Pelancongan Kiulu (KTA).

“Kita mahu pengunjung datang berulang-ulang. Kita tidak mahu perkara yang buruk berlaku kepada pengunjung kerana ia akan memberi kesan yang buruk terhadap pelancongan kita.

“Oleh itu Lembaga Pelancongan Sabah (STB) sangat menggalakkan komuniti luar bandar memanfaatkan peluang peningkatan kemahiran.

“Jika pengunjung berpuas hati dengan pengurusan kita, sudah tentu mereka akan kembali. Justeru, adalah penting untuk kita memberikan perkhidmatan yang cemerlang dan STB mempunyai peruntukan khas untuk menyokong kursus peningkatan kemahiran,” katanya.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudyaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Joniston Bangkuai bersama peserta Program Bina Kapasiti Persatuan Pelancongan Kiulu (KTA).

Joniston, yang juga pengerusi STB, berkata demikian pada penutupan Program Bina Kapasiti Persatuan Pelancongan Kiulu (KTA) dan pelancaran dewan serbaguna di Monggoluton River View dan Picnic Center di sini, pada Isnin.

Turut hadir ialah presiden KTA, Mejin Maginggow dan pengurus Monggoluton River View dan Picnic Center, Brolyn Bilid Benjamin.

Joniston berkata sasaran STB adalah untuk Kiulu diiktiraf sebagai destinasi pelancongan luar bandar bertaraf dunia, sama seperti Kadamaian yang sudah menerima Anugerah Standard ASEAN 2019-2020.

Seramai 25 ahli KTA dan pengusaha pelancongan menghadiri kursus bina kapasiti yang diadakan di dewan serbaguna baharu itu, yang juga sebahagian daripada kemudahan yang dibangunkan menerusi peruntukan Sabah New Deal.

Kursus berkenaan memfokuskan cara untuk mengendalikan risiko secara profesional dalam situasi kecemasan seperti lemas di sungai, tersesat di dalam hutan dan cedera.

“Kita mahu komuniti Kiulu dan pengusaha pelancong mempunyai bukan sahaja tempat yang menarik untuk dikunjungi tetapi juga kemahiran yang mereka perlukan untuk maju,” kata Mejin selaku mentor program bina kapasiti.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|