Sidang DUN Sabah: Kerajaan diminta selesai isu pemohon PPR di Sandakan

Sidang DUN Sabah: Kerajaan diminta selesai isu pemohon PPR di Sandakan

Kota Kinabalu: Kerajaan diminta menyelesaikan segera isu kelewatan pemohon rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) di Sandakan yang sehingga kini belum dapat menduduki lot rumah yang dimohon.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Jaffari Waliam, berkata beliau menerima banyak aduan daripada pemohon mengenai kelewatan berkenaan yang menjejaskan kehidupan mereka.

“Saya ingin bertanya kepada Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, apakah kelewatan ini disebabkan berlakunya masalah daripada pihak Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) untuk memproses setiap permohonan pemohon ataupun kelewatan serah terima bangunan daripada pihak kontraktor kepada MPS?

“Perlu juga diambil perhatian bahawasanya kebanyakan pemohon untuk rumah PPR ini adalah dalam kalangan mereka yang memang tidak mempunyai kediaman selain hanya menumpang di rumah keluarga dan ada pula yang terpaksa menyewa dengan kos yang agak tinggi dan tidak sesuai dengan pendapatan yang mereka perolehi,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Sabah 2022 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini.

Katanya, beliau bimbang jika kelewatan menduduki PPR itu tidak diselesaikan dengan segera, ia memberi impak kepada pemohon yang amat memerlukan kediaman untuk tinggal bersama anak-anak.

Paling tertekan katanya ialah keluarga yang ramai tanggungan, ditambah dengan keadaan ekonomi yang belum pulih sepenuhnya, menyebabkan kehidupan mereka terbeban.

“Mereka sangat mengharapkan dapat menduduki rumah PPR ini dalam usaha mereka meringankan beban yang ditanggung akibat keadaan ekonomi yang belum pulih sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, Jaffari turut menyuarakan harapannya agar jalan raya yang berada di bawah penyeliaan Kementerian Kerja Raya Sabah (KKRS), terutama laluan ke pantai timur dapat disiapkan mengikut jadual.

Beliau berkata, perkara itu perlu diberi perhatian kerana ia menjadi keutamaan kepada pengguna yang menggunakan laluan terbabit.

“Saya turut mengucapkan tahniah kepada KKRS di bawah Datuk Seri Bung Moktar Radin atas kepantasan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam menyiapkan laluan jalan raya di Sapi Nangoh, Telupid, Sandakan.

“Jalan ini adalah menjadi keutamaan bukan sahaja penduduk sekitar tetapi pengguna jalan raya yang ingin ke Pantai Timur Sabah.

“Bagi kami yang sering menggunakan jalan ini, ianya adalah hadiah buat kami apabila berjaya disiapkan sepenuhnya mengikut jadual.

“Diharap pengguna yang melalui jalan ini akan lebih selesa dan dapat mengurangkan kemalangan melibatkan pemandu terutama pada waktu malam,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan Belanjawan Sabah 2022 yang dibentangkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada Jumaat lalu sebagai signifikan kepada ekonomi negeri ini setelah terjejas teruk disebabkan pandemik Covid-19.

Katanya, beliau amat tertarik dengan belanjawan itu yang turut memberi perhatian sewajarnya kepada Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat dengan sebanyak RM210.66 juta disalurkan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah antaranya untuk program pembasmian kemiskinan golongan miskin tegar.

“Ini amat penting kerana sepanjang kita melalui pandemik Covid-19, tidak dinafikan ada rakyat terjerumus dalam kelompok ini disebabkan hilangnya sumber pendapatan sama ada perniagaan mereka terpaksa ditutup ataupun mereka kehilangan pekerjaan.

“Saya yakin dan percaya, dengan peruntukan ini, KPLB akan dapat membantu mereka yang termasuk dalam kelompok ini untuk segera dikeluarkan sebagai miskin tegar,” katanya.

Tambahnya, pemberian bonus bagi semua kakitangan awam sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 adalah berita gembira yang sudah lama dinantikan kakitangan awam negeri, tambahan lagi selepas ekonomi terjejas.

Katanya, ramai di antara kakitangan awam juga berdepan dengan masalah kewangan dan mengharapkan sokongan, khususnya dalam meringankan beban yang ditanggung mereka.

“Sudah pasti bonus ini akan sedikit sebanyak membantu mereka dalam meringankan beban yang dihadapi dan membantu merancakkan lagi kitaran wang dalam perbelanjaan seharian mereka sekali gus membantu peniaga-peniaga kecil yang mana impak aliran tersebut mereka dapat manfaatkan melalui jual beli,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|