Sidang DUN Sabah: Formula baharu tarik minat dalam bidang teknologi automotif, digital dan elektrik

Sidang DUN Sabah: Formula baharu tarik minat dalam bidang teknologi automotif, digital dan elektrik

Kota Kinabalu: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) telah mengenal pasti pelbagai pendekatan atau formula baharu bagi memastikan program kemahiran terutama bidang teknologi automatif, digital dan elektronik mendapat sambutan daripada pelajar, belia atau belianis di negeri ini.

Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ruddy Awah berkata, antara yang dilaksanakan termasuk Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) menjalinkan kerjasama dengan pihak Malaysia Automotive Robotic & IoT Institute (MARii) untuk melaksanakan train and place dalam bidang teknologi automotif.

Katanya, melalui program ini, JPSM akan menghantar belia Sabah mengikuti program dalam bidang automatif dan IOT dan penempatan di kilang-kilang automotif IoT bagi mengatasi isu pengangguran di Sabah bermula tahun 2022.

“JPSM merancang akan memberi peluang kepada belia Sabah yang berpotensi melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi
berkaitan bidang teknikal khasnya teknologi automotif, digital dan elektronik.

“JPSM telah menghantar lima orang pelatih JPSM untuk melanjutkan latihan ke peringkat Diploma iaitu dalam bidang Diploma of Engineering Technology Automotive Maintenance dan Diploma of Engineering Technology in Electric dan Electronics di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) pada tahun 2020,” katanya bagi menjawab soalan daripada Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin (BERSATU-Nabawan) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Katanya lagi, kementerian juga ketika ini sedang merangka mewujudkan sebuah Universiti Teknikal bersama MARA bagi memenuhi
keperluan tenaga kerja mahir dan separa mahir di Sabah.

“Dengan inisiatif ini, anak-anak Sabah yang mempunyai sijil kemahiran boleh melanjutkan pelajaran atau latihan yang lebih
tinggi tanpa perlu ke Semenanjung.

“Kementerian melalui Sabah Skills and Technology Centre (SSTC) dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) menganjurkan program MyReskills IoT khusus kepada syarikat-syarikat di bawah kategori enterprise kecil dan sederhana dalam sektor perkilangan, pertanian dan perkhidmatan untuk kekal berdaya saing dalam pengaplikasian IoT dan IR4.0,” katanya.

Sementara itu, Rudy turut memaklumkan bahawa kementerian melalui Sabah Creative Economy and Innovation Centre (SCENIC), giat menjalankan latihan berkemahiran tinggi seperti teknologi dron, IoT, big data dan sebagainya.

“SCENIC telah menandatangani memorandum persefahaman dengan Aerodyne dan KKIP Aerospace Training Centre bagi meluaskan
potensi teknologi dron di Sabah.

“Melalui MOU ini akan dapat membantu industri perhutanan dan pertanian serta secara tidak langsung dapat memperkasa belia melalui latihan teknologi dron.

“Beberapa siri suai kenal dengan jabatan kerajaan dan korporat di Sabah telah diadakan untuk mengenal pasti jenis
inisiatif yang boleh dijalankan segera,” katanya.

Sehubungan itu, Rudy berkata, menerusi inisiatif kerajaan dalam penganjuran program berkaitan digital serta peluang pekerjaan yang ditawarkan, mampu menarik minat belia dan beliawanis ke arah teknologi IR 4.0.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|