Sidang DUN Sabah: DUN Sabah lulus Belanjawan Sabah 2022

Sidang DUN Sabah: DUN Sabah lulus Belanjawan Sabah 2022

Kota Kinabalu: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan Belanjawan Sabah 2022 selepas dibahas sejak Isnin lalu.

Belanjawan berjumlah RM4.596 bilion yang bertemakan ‘Ekonomi Pulih, Rakyat Sejahtera’ itu dibentangkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada Jumaat lalu.

Ia adalah belanjawan lebihan berikutan anggaran pendapatan tahun depan diunjur sebanyak RM4.707 bilion yang menyaksikan lebihan hasil berjumlah RM110.68 juta.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM4.213 bilion adalah wang dari Kumpulan Wang Disatukan bagi tahun depan yang diluluskan sebulat suara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada persidangan hari ini.

Selain Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Perbekalan 2022 itu, DUN Sabah turut meluluskan RUU Kumpulan Wang Amanah Kerajaan (Pindaan) 2021, RUU Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri Sabah (Pindaan) 2021 dan RUU Perbadanan Makanan Haiwan 2021.

RUU Kumpulan Wang Amanah Kerajaan (Pindaan) 2021 adalah untuk menubuhkan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) sebagai badan penaja pelajar anak Sabah yang menyambung pelajaran ke peringkat pengajian tinggi di Intitusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang membentangkan RUU pindaan berkenaan TPNS akan diurus bersama dengan Bahagian Pembangunan Pendidikan Yayasan Sabah sedia ada.

“Justeru, penubuhan Kumpulan Wang Amanah Tabung Pendidikan Negeri Sabah disyorkan untuk diguna pakai bagi penyaluran dana daripada organisasi dan dermawan yang ingin menyumbang kepada TPNS,” katanya.

Katanya, penyaluran dana kerajaan ke dalam Kumpulan Wang Amanah TPNS di bawah Kementerian Kewangan negeri adalah bagi mematuhi Seksyen 10, Akta Acara Kewangan 1957 dan menyenaraikannya dalam jadual di bawah Government Trust Fund Enactmen 1964 (Sabah Cap.9).

Jelasnya, Kumpulan Wang Amanah itu bagi membantu pelajar membayar perbelanjaan kos pengajian di peringkat sijil sehingga peringkat ijazah, pembayaran pengurusan aktiviti pelajar dan sebarang perbelanjaan yang diluluskan oleh Jawatankuasa Pelaksana TPNS dari semasa ke semasa.

Beliau berkata, penubuhan Kumpulan Wang berkenaan diperlukan selaras dengan arahan bagi pentadbiran dan pengawalan Kumpulan Wang Amanah TPNS.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|