Sembunyi rokok seludup dalam pondok hutan bakau

Sembunyi rokok seludup dalam pondok hutan bakau

Lahad Datu: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya merampas rokok seludup bernilai RM121,938 yang disembunyikan dalam pondok kecil di kawasan bakau di Kampung Puyut, di sini, hari ini.

Rampasan itu dilakukan angggota PPM Lahad Datu yang menjalanlan operasi Op Benteng Covid-19 jam 6.30 pagi tadi.

Semua rokok pelbagai jenama berkenaan didapati disembunyikan di kawasan bakau untuk mengaburi mata pihak berkuasa sebelum diedarkan di pasaran tempatan.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi, PPM Lahad Datu, Superintendan Gan Ping Sin berkata, bertindak atas maklumat orang awam, satu operasi serbuan dijalankan di kawasan berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat sebuah pondok kecil tidak berpenghuni dalam keadaan yang mencurigakan.

“Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan ribuan rokok pelbagai jenama yang disembunyikan di dalam beg plastik berwarna hitam.

“Semua rokok berkenaan disyaki diseludup masuk dari negara jiran dan dianggarkan bernilai RM121,938.96 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya di sini, hari ini.

Gan berkata, semua barang rampasan berkenaan kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Kastam Cawangan Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.

Pondok kecil di kawasan hutan bakau yang dijadikan tempat menyimpan rokok seludup.

Sehubungan itu, Gan berkata, PPM Wilayah Empat Sabah amat mengalu-alukan masyarakat supaya menyalurkan sebarang maklumat menyalahi undang-undang kepada PPM untuk tindakan segera.

“Maklumat boleh disalurkan menerusi aplikasi whatsapp di talian 013-2831197 atau berhubung terus ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Lahad Datu di talian 013-9808084,” katanya.

-Deasoka

Pondok kecil di kawasan hutan bakau yang dijadikan tempat menyimpan rokok seludup.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|