Saya akan lakukan yang terbaik demi negara – Mohamad Alamin

Saya akan lakukan yang terbaik demi negara – Mohamad Alamin

Kota Kinabalu: Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin menyatakan komitmennya untuk melakukan yang terbaik selepas dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan II dalam barisan Kabinet baharu kerajaan Pusat yang diumumkan hari ini.

Dalam hantaran di laman Facebook beliau, Mohamad berkata beliau akan memanfaatkan sepenuhnya kudrat yang ada padanya untuk melaksanakan tugas baharu yang diamanahkan itu.

Beliau turut menyatakan penghargaan dan terima kasih atas kepercayaan diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menggalas tanggungjawab di Kementerian Pendidikan.

“Setinggi-tinggi terima kasih kepada Perdana Menteri di atas kepercayaan dan mengamanahkan saya sebagai Timbalan Menteri Pendidikan II. InsyaAllah dengan kudrat yang ada saya akan lakukan yang terbaik demi negara.

“Terima kasih juga kepada Datuk Seri Bung Moktar Radin dan rakan pimpinan UMNO serta Barisan Nasional (BN) Sabah dan seluruh rakyat di Parlimen Kimanis di atas dorongan dan doa.

“Doakan saya diberi kekuatan dan hidayah dalam melaksanakan tugas ini. Alhamdulillah,” katanya.

Mohamad yang juga Ketua UMNO Kimanis adalah antara dua muka baharu mewakili Sabah dilantik membarisi Kabinet baharu Ismail Sabri selain empat muka lama yang dilantik semula.

Seorang lagi muka baharu dari Sabah ialah Ahli Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan II.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|