3 prinsip asas pembentukan Kabinet baharu Ismail Sabri

3 prinsip asas pembentukan Kabinet baharu Ismail Sabri

Kota Kinabalu: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggariskan tiga prinsip sebagai asas menggerakkan Kabinet baharu berorientasikan hasil yang dibentuk untuk membantunya mendepani cabaran semasa dalam negara.

Perdana Menteri berkata, tiga prinsip itu ialah peka dengan keperluan semasa, bertanggungjawab dan amanah serta mengembalikan semula keyakinan rakyat.

Beliau turut menetapkan tempoh 100 hari untuk setiap kementerian membuktikan pencapaian awal masing-masing menerusi amalan kerja berprestasi tinggi yang diterapkan dalam pembentukan Kabinet baharu pimpinannya.

“Sesungguhnya, barisan Kabinet ini juga mengambil pendekatan baharu yang bersifat lebih terbuka, dengan menyantuni aspirasi Keluarga Malaysia melalui penyampaian perkhidmatan dan maklumat yang lebih efisien,” katanya pada pengumuman barisan Kabinet baharu persekutuan, hari ini.

Enam pemimpin dari termasuk dua muka baharu adalah antara yang membarisi Kabinet baharu persekutuan diumumkan Ismail Sabri pagi tadi.

Ismail Sabri berkata, beliau akan memastikan barisan Kabinet komited menjayakan agenda negara melalui jalinan kerjasama rentas parti bagi memacu pemulihan ekonomi demi kesejahteraan rakyat.

Jelasnya, selaras dengan halatuju Pelan Pemulihan Negara (PPN), aktiviti ekonomi akan dibuka secara berfasa bagi membolehkan rakyat mula bekerja dan mencari nafkah dengan selamat.

“Barisan Kabinet ini dipilih daripada kombinasi mereka yang berpengalaman, diyakini mampu membantu negara memulihkan ekonomi dengan menyokong usahawan, memudah cara perniagaan dan merancakkan semula aktiviti ekonomi serta meningkatkan keyakinan pelabur,” katanya.

Katanya, ekonomi negara yang terkesan akibat penularan Covid-19 di peringkat global dan dalam negara perlu dipulihkan segera

Sehubungan itu, katanya barisan Kabinet dan kementerian perlu dipastikan berupaya menggalas tanggungjawab itu dengan komited dan lebih proaktif.

“Saya berharap pelantikan Kabinet ini akan memberi keyakinan baharu untuk negara bangkit dan bersatu dalam melawan Covid-19 serta membebaskan Keluarga Malaysia daripada kesengsaraan hidup akibat pandemik ini.

“Saya akan pastikan Kabinet ini menekankan budaya kerja berprestasi tinggi. Justeru, setiap kementerian perlu membuat perancangan jangka pendek dan jangka panjang serta mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Untuk itu, setiap kementerian perlu membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|