Sabah perlukan lebih banyak peruntukan pembangunan – Bung Moktar

Sabah perlukan lebih banyak peruntukan pembangunan – Bung Moktar

Kinabatangan: Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan Sabah memang memerlukan lebih banyak peruntukan pembangunan berbanding RM5.2 bilion yang diumumkan dalam Bajet 2022.

Timbalan Ketua Menteri Sabah itu, berkata ia kerana dana yang besar diperlukan setiap tahun dalam program pembangunan infrastruktur berkaitan bekalan air dan elektrik, jalan raya serta jambatan.

Beliau berkata, perkara itu mengambil kira saiz Sabah yang besar dengan akses bekalan air bersih, jalan raya, sekolah dan elektrik yang masih jauh ketinggalan berbanding negeri lain.

“Selain pelaksanaan projek Pan Borneo Sabah, sebenarnya dari sudut keperluan pembangunan terutama infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air bersih, elektrik, sekolah, kemudahan kesihatan dan perkhidmatan jalur lebar Sabah masih jauh ketinggalan berbanding dengan negeri lain.

“Mungkin ramai menilai kenyataan media ketika saya memberikan ulasan berhubung Bajet 2022 yang dibentangkan di Dewan Rakyat baru-baru ini dari presepsi yang berbeza seolah -olah saya bercakap seperti pembangkang.

“Namun hakikatnya Sabah memang memerlukan lebih banyak peruntukan berbanding yang diumumkan dalam bajet itu, iaitu sebanyak RM5.2 bilion,” katanya dalam ucapannya sempena pelancaran Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Zon Timur: Kalabakan – Sandakan – Beluran – Telupid, di sini, hari ini.

Pelancaran projek itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dalam rangka lawatan ke daerah ini dan Sandakan sejak malam tadi.

Yang turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Kurup.

Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, berkata beliau yakin dengan kepemimpinan Ismail Sabri yang berteraskan konsep ‘Keluarga Malaysia’ akan melihat keperluan pembangunan untuk rakyat di negeri ini.

“Kerana itu kita mengharapkan bajet pembangunan yang lebih tinggi untuk negeri Sabah bagi mengimbangi kemajuan yang dicapai negeri lain. Jika ini gagal diimbangi sudah tentu Sabah akan terus berada dalam kelompok negeri termiskin.

“Dalam pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah, kerajaan negeri khususnya kementerian saya, menyokong penuh pelaksanaannya kerana ia akan memberi manfaat yang besar kepada rakyat khususnya dalam pembangunan sosio ekonomi negeri Sabah.

“Begitu juga di peringkat kerajaan, kita mengharapkan kerjasama sepenuhnya daripada rakyat. Ini disebabkan pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo ini pada peringkat awalnya akan melibatkan kerja pengambilan tanah bukan hanya tanah kerajaan tetapi juga tanah milik syrikat dan perseorangan.

“Untuk memastikan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo ini berjalan lancar, sokongan dan kerjasama daripada pemilik tanah yang terlibat amatlah diperlukan,” katanya.

Sementara itu, Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, berkata beliau berterima kasih kepada kerajaan Pusat, khususnya Perdana Menteri kerana prihatin terhadap keperluan pembangunan rakyat negeri ini khususnya dalam penyediaan insfrastrutur asas seperti jalan raya dengan meluluskan projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah bagi Zon Timur yang dilaksanakan melalui inisiatif kewangan swasta (PFI).

“Sesungguhnya rakyat Sabah khususnya di kawasan ini amat berterima kasih kerana YAB Perdana Menteri masih memberi keutamaan yang tinggi kepada projek Lebuhraya Pan Borneo walaupun negara sedang melaksanakan beberapa langkah khusus bagi menghadapi cabaran ekonomi dan kewangan semasa.

“Ini jelas menunjukkan YAB Perdana Menteri dan kerajaan persekutuan peka dengan keperluan rakyat di negeri Sabah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|