Lahad Datu: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dikhuatiri dibaham buaya selepas hilang di kawasan sungai Kampung Bakau Lama, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, mangsa dikatakan diheret seekor buaya masuk ke dalam sungai berkenaan sebelum hilang tanpa kesan.
Lokasi kejadian mangsa dikatakan dibaham sebelum diheret ke dalam sungai di Kampung Bakau Lama, Lahad Datu. Gambar ihsan Bomba
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.03 tengah hari.
Katanya, susulan laporan itu, sepasukan enam anggota dan pegawai bersama jentera dikerah ke lokasi kejadian.
“Saksi di tempat kejadian mendakwa terdapat seorang kanak-kanak yang dibaham buaya sebelum diheret ke dalam sungai,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, sehingga kini, mangsa masih gagal ditemui dan operasi pencarian diteruskan di kawasan sekitar.
“Operasi mencari dan menyelamat dilakukan menggunakan kaedah surface searching dengan bantuan orang kampung.
“Setakat ini mangsa belum ditemui dan maklumat terkini akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.
-Deasoka