Kinabatangan: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata hasrat kerajaan persekutuan menerusi projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah adalah untuk mengulangi kejayaan projek lebuh raya di Semenanjung.
Beliau berkata, semua pihak maklum rangkaian jalan raya yang baik mampu melonjakkan potensi pertumbuhan dan memberi limpahan transformasi pembangunan luar bandar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) melancarkan Projek Lebuh Raya Pan Borneo Zon Timur.
“Kerajaan yakin, projek Lebuhraya Pan Borneo bakal memperluaskan jaringan pengangkutan dan keterhubungan antara pekan serta daerah ke pusat pertumbuhan yang berpotensi seperti pelabuhan, kawasan perindustrian dan pusat komersial di sepanjang jajarannya.
“Saya mengucapkan tahniah kepada Kementerian Kerja Raya, kerajaan negeri Sabah dan Kementerian Kerja Raya Negeri Sabah atas usaha merancang dan merealisasikan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Zon Timur: Kinabatangan – Sandakan – Beluran – Telupid, di sini, hari ini.
Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Menteri Kerja Raya negeri dan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Projek Lebuhraya Pan Borneo bagi laluan Kinabatangan – Sandakan – Beluran – Telupid itu membabitkan Pakej Kerja 28, 29 dan 30 sepanjang 58 kilometer yang menelan belanja RM877 juta.
Skop pembinaan tiga pakej kerja itu melibatkan kerja menaik taraf Jalan Persekutuan sedia ada daripada dua lorong kepada empat lorong dari Batu 32 Sandakan ke Sungai Baoto yang turut membabitkan pembinaan satu persimpangan bertingkat di Sapi Nangoh dan tiga jambatan di Sungai Monyet, Sungai Muanad dan Sungai Manduring.
Kerja pembinaan bagi pakej berkenaan bermula pada bulan ini dan dijadualkan siap sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun iaitu pada Oktober 2024.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah membuktikan komitmen kerajaan persekutuan dalam membangunkan rangkaian infrastruktur jalan raya yang terancang, sistematik dan efisien buat Keluarga Malaysia di Sabah.
“Ia sekali gus memastikan pembangunan sosio ekonomi yang lebih baik dan dapat memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini, selari dengan hala tuju strategik Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) iaitu ‘Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan’.
“InsyaAllah pembangunan di Sabah tidak akan terhenti di sini, kerajaan akan meneruskan pakej-pakej pembangunan dalam memastikan pembangunan negeri Sabah dapat diteruskan dan manfaatnya dapat dinikmati oleh rakyat di negeri ini,” katanya.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata dalam melaksanakan projek Lebuhraya Pan Borneo, kerajaan membuka ruang penglibatan untuk rakyat tempatan Sabah sepenuhnya dengan ada yang dilantik sebagai perunding, pembekal mahupun kontraktor serta mencipta peluang pekerjaan buat Keluarga Malaysia di Sabah.
Selain itu, katanya ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam kalangan anak tempatan Sabah juga dapat dilahirkan dan secara langsung memberi sumbangan kepada pembangunan negeri Sabah, sekali gus mewujudkan kitaran ekonomi tempatan.
“Hasil perancangan yang rapi dan bersifat holistic di antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri melalui Highway National Development Planning (HNDP), projek ini bakal menjadi pemangkin kepada kemajuan Sabah Economic and Development Authority (SEDIA) untuk membolehkan negeri Sabah mencapai taraf negeri maju,” katanya.
-Deasoka