Pembangunan Sabah, Sarawak sentiasa diutamakan – Ismail Sabri

Pembangunan Sabah, Sarawak sentiasa diutamakan – Ismail Sabri

Kinabatangan: Peruntukan untuk perbelanjaan pembangunan bagi Sabah dan Sarawak merangkumi lebih 20 peratus daripada peruntukan perbelanjaan pembangunan Bajet 2022 yang diagihkan ke semua negeri di Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia selaras dengan komitmen kerajaan persekutuan yang sentiasa memberi keutamaan terhadap pembangunan negeri Sabah dan Sarawak.

Katanya, keutamaan itu bagi memastikan Negeri Di Bawah Bayu dan Bumi Kenyalang bersama-sama membangun seiring dengan aspirasi Keluarga Malaysia.

“Peruntukan ini bertujuan melaksanakan pembangunan infrastruktur air, elektrik, jalan raya serta kemudahan pendidikan dan kesihatan yang sekali gus akan merapatkan jurang pembangunan antara Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Zon Timur: Kinabatangan – Sandakan – Beluran – Telupid, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Menteri Kerja Raya negeri dan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Sempena majlis itu, Ismail Sabri yang dalam rangka lawatan kerja ke Sandakan dan Kinabatangan sejak malam tadi turut mengumumkan kelulusan khas peruntukan RM6 juta untuk pembinaan Dewan Serbaguna Pekan Kota Kinabatangan.

Beliau turut mengumumkan peruntukan RM5 juta untuk pasar awam Kota Kinabatangan dam RM3 juta lagi untuk pusat pelupusan sampah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|