Sabah FC berdepan tugas berat menentang JDT

Sabah FC berdepan tugas berat menentang JDT

Kota Kinabalu: Pasukan Sabah FC terpaksa berdepan tugas berat dalam misi mencari tiga mata ketika pertemuan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) menerusi aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor, malam esok.

Ia berikutan ketiadaan dua tonggak import skuad Sang Badak, iaitu pemain tengah dari Korea Selatan, Park Taesu dan penyerang dari Crotia, Josip Ivancic yang dikhabarkan masih mengalami kecederaan.

Pengendali Sabah FC, Kurniawan Dwi Yulianto, berkata ketiadaan dua pemain harapan itu pasti menambah kesukaran anak buahnya untuk mempertahankan pasukan apatah lagi mencipta kejutan di gelanggang lawan.

“Semua tahu JDT adalah pasukan yang kuat dan unggul dengan serba serbi lengkap, jadi tentunya ia memberi cabaran yang tersendiri untuk skuad ‘The Rhinos’.

“Di Stadium Likas sebelum ini kita ditewaskan 4-1oleh JDT, kemudian sekarang `team’ kita juga belum dapat diperkuat sepenuhnya.

“Jadi Sabah FC harus menggunakan sebaik mungkin tenaga pemain sedia ada dengan jadual perlawanan yang sangat padat ini. Tentunya kita harus berfikir bagaimanakah `rotation’ pemain dan taktikal yang akan digunakan untuk menghadapi JDT malam esok,” katanya dalam kenyataan mengenai persiapan Sabah FC menghadapi JDT, esok.

Kurniawan berkata paling penting pemain yang akan diturunkan nanti mempunyai tahap kecergasan 100 peratus dan sentiasa fokus kepada perlawanan yang dianggap sangat berat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|