Pusat Informasi Pelancong bantu kembangkan pelancongan di Tamparuli, Kiulu

Pusat Informasi Pelancong bantu kembangkan pelancongan di Tamparuli, Kiulu

Tamparuli: Sebuah Pusat Informasi Pelancong akan diwujudkan di Tamparuli bagi menyalurkan maklumat mengenai aktiviti pelancongan yang ditawarkan di daerah kecil berkenaan kepada pengunjung dari dalam dan luar negara.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata pusat itu penting selaras usaha memajukan aktiviti pelancongan luar bandar, khususnya di Tamparuli dan Kiulu.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan pemilik sebuah bangunan yang terletak berhampiran Sungai Tamparuli yang dilihat berpotensi dibangunkan sebagai pusat informasi yang dicadangkan itu.

“Kita melihat bahawa perlu wujud satu Pusat Informasi Pelancong bagi memberi penerangan mengenai tempat pelancongan yang terdapat di kawasan Tamparuli, Kiulu dan sepanjang perjalanan ke tempat menarik termasuk di Ranau dan kawasan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau projek lukisan mural Linangkit bersama Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Joniston Bangkuai di Jambatan Gantung Tamparuli, sini, hari ini.

Hadir sama Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Madin Anak; Penolong Pegawai Daerah Kecil (Pembangunan) Tamparuli, Jefferson Jonathan; Setiausaha Politik Kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Jilias Lintar dan Pegawai Kerja Pejabat Daerah Kecil Tamparuli, Joana Sinteh.

Turut hadir ialah Timbalan Pengurus Besar Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Julinus Jeffery Jimit dan Penolong Pengurus STB, Dexter Randy dan Inchek Anam.

Jahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli berkata, pihaknya akan berunding dengan Jabatan Pertanian selaku pemilik premis terbabit untuk dijadikan Pusat Informasi Pelancong.

Katanya, pusat itu nanti memudahkan pelancong mengetahui pelbagai maklumat mengenai tempat menarik di seluruh daerah Tuaran, khususnya di Tamparuli dan Kiulu, termasuk juga kawasan pelancongan lain seperti Taman Negara Kinabalu.

“Ianya berfungsi untuk memberi ruang luas bagi tujuan promosi dan pemberian maklumat, malah membuka peluang pekerjaan dan yang penting sekali tapak ini dapat digunakan semaksimum mungkin untuk tujuan bermanfaat yang sangat besar,” katanya.

Dalam pada itu Joniston berkata, pusat informasi itu penting dan sesuai dibangunkan agar memudahkan pengunjung mendapatkan maklumat mengenai tempat menarik di Tuaran, khususnya Tamparuli dan Kiulu.

Terdahulu, Jahid dan Joniston turut mendengar taklimat ringkas Jambatan Gantung Pekan Tamparuli dan Bukit Perahu oleh Penolong Pegawai Daerah Tamparuli, Herman Tunggiging di bilik mesyuarat Pejabat Daerah Kecil Tamparuli.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|