Polis Kota Kinabalu agih bantuan bakul makanan kepada 66 keluarga

Polis Kota Kinabalu agih bantuan bakul makanan kepada 66 keluarga

Kota Kinabalu: Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Kinabalu mengagihkan bantuan bakul makanan seramai 66 keluarga yang memerlukan, hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman berkata, bantuan itu disampaikan menerusi Op Bantu kepada mereka yang terputus bekalan makanan ekoran pandemik Covid-19, hasil usaha Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Katanya, bantuan disampaikan selepas pihaknya mengenalpasti mereka yang memerlukan menerusi lima balai iaitu Balai Polis (BP) Tanjung Aru, BP Luyang, BP Kota Kinabalu, BP Inanam dan BP Manggatal.

George Abd Rakman menyampaikan bantuan kepada salah seorang penerima menerusi Op Bantu di Kota Kinabalu.

“Untuk hari ini kita menyampaikan 66 bakul makanan kepada 66 keluarga memerlukan. Sebenarnya, masih ramai lagi yang memohon bantuan dan sehingga kemarin kita menerima seramai 89 pemohon.

“Cuma ada sebahagiannya tidak dapat diberi bantuan memandangkan ada kawasan yang diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan bantuan bakul makanan pada program Op Bantu Peringkat IPD Kota Kinabalu di pejabatnya, hari ini.

George berkata, setakat hari ini, pihaknya sudah menerima lebih seratus permohonan namun semua pemohon ini akan disenaraikan sebelum ditapis untuk pengagihan bakul makanan secara berperingkat.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|