PM lulus RM14 juta projek pembangunan untuk Kinabatangan

PM lulus RM14 juta projek pembangunan untuk Kinabatangan

Kinabatangan: Perdana Menteri meluluskan peruntukan segera berjumlah RM14 juta bagi melaksanakan tiga projek pembangunan di daerah ini sempena lawatan kerjanya ke Kinabatangan, hari ini.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata beliau mendengar ucapan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mengemukakan permohonan bagi projek terbabit.

Dengan nada bergurau, Ismail Sabri berkata beliau pasti tidak dapat pulang ke Kuala Lumpur tanpa meluluskan permohonan Ahli Parlimen Kinabatangan itu.

“Saya mendengar ucapan Datuk Seri Bung Moktar tadi ada lagi peruntukan yang baru dipohon. Jadi saya tak boleh balik Kuala Lumpur kalau tak luluskan projek ni,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Zon Timur di Dataran Tamu Pekan Kota Kinabatangan, di sini, hari ini.

Terdahulu, Bung Moktar dalam ucapannya pada majlis itu memohon pertimbangan Perdana Menteri untuk memberikan peruntukan bagi melaksanakan empat projek pembangunan yang diperlukan di daerah ini.

Berikutan itu, Ismail berkata tiga daripada empat permohonan yang dikemukakan Bung Moktar diluluskan dan pembinaannya akan disegerakan dalam masa terdekat.

“Yang pertama saya luluskan Dewan Serbaguna Pekan Kota Kinabatangan berjumlah RM6 juta.

“Kemudian Pasar Awam Kota Kinabatangan pula sebanyak RM5 juta dan Pusat Pelupusan Sampah berjumlah RM3 juta,” katanya.

Katanya, satu lagi permohonan dikemukakan Bung Moktar iaitu menaik taraf Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan akan diteliti terlebih dahulu sebelum diberikan kelulusan.

Ismail Sabri melancarkan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Zon Timur bagi laluan Kinabatangan – Sandakan – Beluran – Telupid membabitkan Pakej Kerja 28, 29 dan 30 sepanjang 58 kilometer yang menelan belanja RM877 juta.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|