Pindaan Perlembagaan Persekutuan buka jalan kepada pemulihan penuh MA63

Pindaan Perlembagaan Persekutuan buka jalan kepada pemulihan penuh MA63

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri menyifatkan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perlembagaan Persekutuan 2021 di Parlimen semalam akan membuka jalan kepada pemulihan sepenuhnya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata ia adalah detik penting dalam sejarah negara, terutama apabila ia diluluskan sebulat suara oleh Ahli Parlimen.

“Kita sentiasa mempertahankan hal ini dan Majlis Khas MA63 (MKMA) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri sedia menerima permintaan yang dikemukakan oleh Sabah dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hajiji menambah dengan pelaksanaan asas MA63, langkah kini boleh diambil untuk bergerak lebih jauh ke hadapan bagi memulihkan hak Sabah dalam persekutuan Malaysia.

Beliau turut mengulangi bahawa MKMA63 penting kerana ia adalah manifestasi kerajaan hari ini untuk duduk bersama bagi menyelesaikan isu berkaitan sebagai satu Keluarga Malaysia.

“Saya memberi jaminan bahawa kerajaan negeri Sabah tidak akan berhenti setakat ini, sebaliknya akan meneruskan hak negeri seperti yang dipersetujui melalui MKMA63,” katanya.

Semalam, RUU pindaan Perlembagaan Persekutuan 2021 yang dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar diluluskan sebulat suara Ahli Parlimen melalui undian belah bahagi pada bacaan kedua dan ketiga.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|