PGA Sabah rampas kayu terubah dalam Op Bersepadu Khazanah

PGA Sabah rampas kayu terubah dalam Op Bersepadu Khazanah

Kota Kinabalu: Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah merampas sebanyak 35 kayu terubah yang disyaki dicuri dari Hutan Simpan Sungai Sugut, Pulau Jambongan, Beluran semalam.

Dalam operasi jam 8 pagi itu, semua kayu berkenaan dipercayai ditinggalkan oleh penceroboh sebelum ditemui Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 20 Beluran.

Komander Briged Sabah PGA, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, operasi dijalankan dengan kerjasama pasukan Jabatan Perhutanan Sabah.

Katanya, semua kayu berkenaan dianggarkan bernilai RM1,000 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Kes disiasat mengikut Enakmen Hutan 1968 dan Peraturan-Peraturan Hutan 1969.

“Tindakan pegawai penyiasat Jabatan Perhutanan juga dijalankan untuk proses melupuskan barang rampasan untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, dalam operasi berasingan di lokasi berhampiran, pasukan operasi menemui satu struktur bangunan ditemui dibina menggunakan hasil kayu hutan simpan.

Mohd Abduh berkata, pihaknya menjangkakan nilai kayu yang digunakan untuk membina struktur berkenaan sekurang-kurangnya mencecah RM15,000.

Katanya, siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenalpasti individu bertanggungjawab dalam kegiatan itu.

“Struktur bangunan berkenaan akan dirobohkan dalam tempoh 14 hari,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|