Penyeragaman SOP seluruh negara tidak sesuai: MBS

Penyeragaman SOP seluruh negara tidak sesuai: MBS

Kota Kinabalu: Majlis Belia Sabah (MBS) menzahirkan pendapat penyeragaman prosedur operasi standard (SOP) di seluruh negara adalah tidak bersesuaian.

Timbalan Presiden MBS, Abqaree Fawwaz Abekan (gambar) berkata, langkah itu dilihat boleh melambatkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) kerana terdapat negeri-negeri merekodkan jangkitan kes Covid-19 rendah dan terkawal, seperti di Sabah.

Beliau berkata, MBS menghargai keprihatinan Datuk Seri Ismail Sabri Yakob selaku Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) yang mencadangkan agar negeri Sabah menggunapakai SOP PKP 3.0 dalam memastikan keputusan yang diambil kini tidak mendatangkan implikasi negatif pada masa akan datang.

“Walaubagaimanapun, kita berpendapat penyeragaman SOP di seluruh negara tidak sesuai serta akan melambatkan PPN kerana terdapat negeri-negeri yang merekodkan kes jangkitan harian yang rendah dan terkawal.

” Oleh itu SOP yang lebih fleksibal perlu dipraktikkan khususnya di negeri-negeri yang mencatat kes positif Covid-19 harian yang rendah.

“Keputusan ini akan memanfaatkan semua pihak khususnya rakyat yang semakin tertekan dan terhimpit akibat hilang punca pendapatan dan pekerjaan,”katanya.

Dalam pada itu, Abqaree berkata, pihak MBS juga menyokong penuh inisiatif Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang menggunakan pendekatan melonggarkan beberapa aktiviti sosial dan ekonomi dalam pelaksanaan PPN di negeri ini.

” MBS yakin dan percaya bahawa keputusan kerajaan negeri ini adalah bertepatan dengan situasi semasa negeri yang merekodkan kadar jangkitan harian di bawah angka 200.

“Usaha ini jelas membuktikan bahawa Ketua Menteri sentiasa peka dan mendengar pandangan serta rintihan rakyat di peringkat akar umbi yang terjejas teruk sepanjang tempoh pelaksanaan PKP 1.0 sehingga 3.0,” katanya.

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|