Penunggang parah, motosikal bertembung dengan kenderaan

Penunggang parah, motosikal bertembung dengan kenderaan

Beaufort: Seorang penunggang motosikal parah selepas motosikal dinaikinya bertembung dengan Perodua Kancil dalam kejadian di Kampung Kabidang, kilometer 10, Jalan Beaufort-Menumbok, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7.20 petang itu, mangsa dikatakan dalam perjalanan menuju ke Beaufort dari arah Menumbok.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, kejadian dikatakan berpunca daripada pemandu Perodua Kancil berusia 25 tahun yang tiba-tiba keluar dari simpang tiga di lokasi.

Katanya, mangsa yang datang dari arah belakang cuba mengelak daripada terlanggar kereta berkenaan dengan mengalih laluan ke sebelah kanan.

“Bagaimanapun, terdapat sebuah pacuan empat roda datang dari arah bertentangan menyebabkan mangsa terpaksa masuk semula ke laluan sebelah kiri.

“Akibat kejadian itu, motosikal yang ditunggang mangsa berusia 29 tahun terlanggar bahagian tayar depan kereta berkenaan sebelum terjatuh di jalan raya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yusoff Zaki berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan menerima rawatan awal di Hospital Beaufort.

Katanya, mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) II Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut, manakala pemandu kereta berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berpunca dari kecuaian pemandu kereta terbabit ketika keluar dari simpang tanpa mengambil kira kenderaan lain yang berada di jalan utama.

“Siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan setakat ini tiada unsur khianat atau jenayah ditemukan dalam kes berkenaan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|