Pengusaha kopi di Ranau terima 20 unit mesin proses biji kopi

Pengusaha kopi di Ranau terima 20 unit mesin proses biji kopi

Ranau: Sebanyak 20 unit peralatan mesin memproses biji kopi bernilai RM230,000 disampaikan kepada 10 kumpulan terdiri daripada petani dan penanam kopi di Kampung Toboh Lama, di sini, hari ini.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Sabah, Ribin Wahid berkata, pihaknya sebagai sebuah agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam pembangunan pemasaran hasil tani peka terhadap keperluan dan kebajikan golongan pengeluar dan petani di negeri ini.

“Justeru di bawah Projek Khas pembangunan Tanaman Ladang kontrak Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), FAMA telah meluluskan peruntukan khas bernilai keseluruhan sebanyak RM230,000 dalam beberapa fasa.

“Bantuan itu adalah membekalkan mesin pemprosesan, mengwujudkan PPL dan kursus pemasaran sebagai pakej aktiviti untuk membantu penanam kopi di kampung ini khususnya bagi pengusaha tanaman jenis kopi bernilai tinggi seperti terdapat di sini,” katanya pada Majlis Penyerahan Mesin Memproses Biji Kopi oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, di Dewan Serbaguna Kampung Toboh Lama, di sini, hari ini.

Ribin berkata, berdasarkan laporan sebelum ini, tanaman kopi semakin berkurangan di Sabah dan umumnya di Malaysia, sebaliknya negara mengimport sekurang-kurangnya 100,000 tan metrik setahun bagi menampung penggunaan industri kopi khususnya kopi variati
Robusta dan Liberica dari Indonesia.

“Kawasan ini dikenal pasti masih mempunyai penanaman kopi khususnya jenis kopi Arabika yang banyak dikeluarkan negara Amerika Latin yang banyak digunakan oleh jenama utama seperti Costa, Starbuck, Coffee Bean dan San Fransisco Coffee, yang sebenarnya ada diusahakan penduduk di kampung ini.

“Kedudukan kampung ini yang melebihi 1,000 meter dari aras laut sangat sesuai bagi penanaman kopi jenis Arabika,” katanya.

Bagaimanapun, Ribin berkata, kebanyakan pengusaha kopi masih memproses kopi secara tradisional menyebabkan pengeluaran yang dihasilkan agak terhad dan mutu dihasilkan tidak menepati keperluan pasaran semasa yang sangat menitikberatkan kualiti lepas tuai dan menghasilkan aroma kopi sebenar.

“Sehubungan itu, setelah membuat kajian kawasan penanaman dan percubaan pasaran ke pusat pemprosesan kopi FAMA di Banting, Selangor serta respon daripada rakan strategik pemasar dan usahawan pemproses serta kopi baristar tempatan, pihak FAMA Sabah mengambil inisiatif menyalurkan bantuan keperluan dengan cara membekalkan peralatan memproses kopi ini.

“Ini adalah untuk mengelakkan kerugian lepas tuai disebabkan teknik pemprosesan kopi sebelum ini yang perlu dibaiki yang dikehendaki serta memenuhi kehendak pasaran,” katanya.

Terdahulu, Ribin memaklumkan pada 2009, Jabatan Pertanian Sabah telah membangunkan usahawan penanam kopi Arabica seramai 40 orang.

“Pada 2019, jumlah peserta bertambah kepada 54 orang membabitkan keluasan 154 ekar tanah dan kebanyakan usahawan terdiri daripada golongan yang agak berusia atau sudah tua.

“Kurang penyertaan daripada golongan muda disebabkan perusahaan kopi ini melibatkan proses yang banyak dengan lebih ketelitian dalam pemprosesan.

“Bagi membantu pengusaha kopi di kampung ini, FAMA telah menyalurkan bantuan mesin dan peralatan memproses kopi. Usaha ini sedikit sebanyak boleh menjimatkan masa pemprosesan kopi dan secara tidak langsung boleh meningkatkan kuantiti dan kualiti pengeluaran kopi Arabica,” katanya.

Beliau berharap bantuan itu dapat menarik minat golongan muda untuk turut serta dalam perusahaan kopi Arabica yang mempunyai pasaran yang masih luas khususnya dalam Malaysia.

“Pemberian mesin ini juga diharap dapat membantu mengurangkan beban petani kopi Arabika Sabah untuk pengeluaran biji kopi mentah ‘green bean’ dari cara konvensional kepada cara moden iaitu mudah dikendali, menjimatkan masa dan yang lebih penting hasil buah kopi yang dipetik dapat memenuhi kualiti pembeli dan pemasar.

“Selain itu, ia juga dapat meningkatkan kualiti biji kopi Arabika Sabah yang dikeluarkan oleh petani setaraf dengan biji kopi komersial yang lain serta meningkatkan keyakinan petani kopi Arabica Sabah terhadap hasil kualiti yang diusahakan.

“Ini juga dapat memberikan suntikan semangat kepada petani kopi untuk terus mengusahakan penanaman kopi Arabika sekali gus menarik minat golongan muda untuk turut serta dalam perusahaan kopi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|