Penduduk Kopungit terima bakul makanan sumbangan Ketua Menteri

Penduduk Kopungit terima bakul makanan sumbangan Ketua Menteri

Kota Kinabalu: Sebanyak 38 keluarga yang terjejas dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Kopungit, di sini menerima bantuan bakul makanan yang disumbangkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Penyampaian sumbangan berkenaan disempurnakan Srikandi Bersatu Sabah dan Armada Bersatu Sabah yang diwakili Ketua Armada Bersatu Sabah, Fairuz Rendan di Dewan Kampung Kopungit, di sini.

Fairuz yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri berkata, selain sumbangan kepada keluarga terbabit, pihaknya turut menyerahkan bantuan serupa kepada hampir 500 penduduk di kampung berkenaan.

“Sebanyak 500 bakul makanan diberikan di Kampung Kopungit, bukan sahaja kepada mangsa terjejas tapi untuk semua. Kami juga ada memberi sedikit bantuan lain kepada mangsa yang betul-betul terjejas selain bakul makanan.

“Antaranya kita juga memberi barang keperluan untuk bayi kerana kita difahamkan ada yang baru melahirkan anak dan ada bayi, jadi kita sediakan keperluan untuk bayi,” katanya.

Setiausaha Politik Ketua Menteri Sabah, Fairuz Rendan (kiri) beramah mesra bersama penduduk Kampung Kopungit.

Bantuan berkenaan, katanya bagi meringankan beban penduduk yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Hadir sama ialah Naib Ketua Srikandi BERSATU Sabah, Datuk Amisah Yassin dan Penolong Setiausaha Srikandi BERSATU Sabah, Datuk Redonah Bahanda.

Dalam pada itu, Fairuz berkata, sehingga kini Armada Sabah berjaya memberikan lebih 5,000 bakul makanan kepada golongan sasaran di seluruh negeri.

Kejadian tanah runtuh di Kampung Kopungit pada Sabtu lalu menyebabkan stor penyimpanan ubat-ubatan milik kementerian Kesihatan (KKM) musnah akibat tertimbus tanah.

Turut rosak ialah enam kereta dan dua motosikal milik orang awam serta kakitangan KKM.

Berikutan kejadian itu, penduduk berhampiran diarah mengosongkan rumah serta-merta berikutan kebimbangan tanah runtuh berulang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|