Pusat pelancongan dibuka semula dengan SOP ditetapkan

Pusat pelancongan dibuka semula dengan SOP ditetapkan

Kota Kinabalu: Destinasi dan pusat pelancongan di Sabah dibenarkan beroperasi semula dalam fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi negeri Sabah.

Kebenaran itu berdasarkan kemas kini terbaharu prosedur operasi standard (SOP) PPN Fasa Dua bagi negeri Sabah yang dikeluarkan semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, bagaimanapun berkata pengunjung hanya dibenarkan dari daerah yang sama atau secara gelembung perjalanan.

Katanya, kebenaran operasi juga tertakluk kepada syarat semua yang terlibat dalam aktiviti di pusat pelancongan terbabit termasuk pengunjung sudah lengkap vaksin dan berstatus risiko rendah Covid-19.

“Semua destinasi dan tapak pelancongan adalah dibenarkan beroperasi bagi pelancongan domestik dari daerah yang sama sahaja atau secara gelembung perjalanan dengan syarat pelancong, pengusaha pelancongan dan pekerja sudah lengkap divaksin dan berstatus risiko rendah Covid-19 dalam aplikasi MySejahtera,” katanya.

Dalam pada itu, katanya operasi hotel dan pusat penginapan, termasuk homestay untuk pelancongan domestik turut dibenarkan, namun hanya untuk pelanggan dalam daerah yang sama dengan syarat semua yang terlibat termasuk pelanggan sudah lengkap vaksin Covid-19.

Bagaimanapun, katanya kemudahan seperti gimnasium, sauna, jakuzi dan bilik seminar yang disediakan di hotel atau pusat penginapan terbabit tidak dibenarkan dibuka.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|