Kota Kinabalu: Pemimpin di peringkat akar umbi perlu memastikan tiada pilih kasih dalam soal pengagihan bantuan kepada rakyat di kawasan masing-masing.
Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun, berkata sikap negatif itu perlu diketepikan agar tiada lagi persepsi negatif terhadap kerajaan.
Jelasnya, pemimpin akar umbi perlu bijak menilai status penerima bantuan dengan memastikan hanya mereka yang benar-benar layak disenaraikan sebagai penerima.
“Jika seseorang yang mampu tetapi namanya dimasukkan sebagai penerima bantuan kerana ada kaitan dengan pemimpin kawasan, itu tidak wajar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan penutupan Webinar Menyantuni Rakyat Akar Umbi anjuran Biro Pembangunan Wanita dan Hubungan NGO Srikandi BERSATU Sabah, hari ini.
Turut serta dalam webinar itu ialah Naib Ketua Srikandi BERSATU Sabah, Datuk Amisah Yassin dan tiga penceramah jemputan, Dr Ananglanka Madkassim; Kaunselor Bebas yang juga seorang peguam, Noor Azah Abdul Rahman dan Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Sabah, Dayang Rogayah Ag Besar.
Azizah yang juga Ahli Parlimen Beaufort, berkata banyak input dan bantuan disalurkan kerajaan untuk meringankan bebanan rakyat terutama yang terjejas akibat penularan Covid-19.
Beliau menekankan, pemimpin di peringkat akar umbi perlu memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat tanpa mengira ideologi politik.
“Ini bagi memastikan setiap kemudahan yang disalurkan oleh kerajaan dapat dinikmati semua masyarakat di pelbagai peringkat tanpa ada yang terpinggir,” katanya.
Dalam pada itu, katanya kerja berkumpulan atau ‘team work’ perlu dijadikan sebagai amalan bagi mendapatkan hasil yang lebih baik.
Katanya, kerja berpasukan juga membolehkan asakan atau cabaran pihak lawan dapat ditangkis dan ditangani dengan lebih berkesan.
“Kita perlu sentiasa berpegang kepada prinsip bekerja sebagai satu pasukan atau ‘tam work’ dan bukan bergerak secara sendiri-sendiri sejajar kata pepatah, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.
“Tanpa pasukan yang mantap tidak mungkin kita mampu melaksanakan gerak kerja dengan baik. Begitu juga tanpa pasukan, tidak mungkin kita dapat menahan asakan-asakan parti lawan yang sentiasa cuba mencari kelemahan kita.
“Satu elemen yang penting ialah ahli parti perlu terus memperkasa gerak kerja memberi penerangan kepada kumpulan sasaran,” katanya.
Sementara itu, Azizah berkata pandemik Covid-19 memaksa masyarakat mengubah gaya hidup dan menyiapkan diri dari segi mental dan fizikal untuk kelangsungan kehidupan seterusnya.
Katanya, perubahan dalam cara hidup bukan lagi satu pilihan, malah ia perlu dilalui dalam menempuh kehidupan yang masih diancam penularan Covid-19.
“Negara kita dan seluruh dunia kini sedang berjuang dengan pandemik Covid-19. Wabak Covid-19 telah mengubah norma dan amalan biasa dalam aspek kehidupan kita.
“Kita hendaklah menjadi lebih inovatif, kreatif dan dinamik serta berupaya menyesuaikan diri dari segi corak pemikiran, gaya hidup serta budaya kerja agar lebih relevan dengan keadaan dan keperluan semasa,” katanya.
-Deasoka