Kota Kinabalu: Jenazah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Datuk Nilwan Kabang selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ulu, Putatan, di sini, tengah hari tadi.
Sebelum itu, jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Negeri Sabah di Sembulan untuk dimandikan dan disembahyangkan.
Turut sama menyembahyangkan jenazah ialah Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Ketua UMNO Sabah, Datuk Bung Moktar Radin dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Kadzim M Yahya.
Hadir sama ialah Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Ariffin Arif; Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar; Setiausaha Eksekutif UMNO Sabah, Awang Aslee Lakat dan Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir Abdul Aziz Julkarnain.
Laporan terdahulu menyebut, Nilwan, 71, yang disahkan positif Covid-19 sebelum dirawat di Hospital Gleneagles Kota Kinabalu sejak awal bulan ini meninggal jam 3.45 pagi tadi disebabkan jangkitan virus berkenaan.
Bagaimanapun, anak sulung arwah, Nurina Nilwan, 41, berkata ayahnya disahkan sudah sembuh daripada jangkitan penyakit berkenaan, namun masih ditahan di hospital untuk pemantauan lanjut.
Katanya, doktor memaklumkan arwah ayahnya mengalami sesak nafas pada kira-kira jam 3 pagi tadi sebelum diberi rawatan kecemasan, namun disahkan meninggal dunia pada jam 3.45 pagi tadi.
“Kali terakhir kami membuat panggilan video bersama arwah ayah ialah pada kira-kira jam 11 malam tadi. Ketika itu dia masih sedar dan boleh memberikan maklum balas.
“Ayah sebenarnya sudah sembuh daripada Covid-19, sebab itu doktor membenarkan jenazahnya diurus seperti biasa dan disembahyangkan di Masjid Negeri,” katanya.
Nurina menyifatkan ayahnya sebagai seorang yang tidak mementingkan kedudukan, malah melayan enam anaknya, anak saudara dan sesiapa saja sama rata.
Katanya, ketika hayatnya, arwah ayahnya sanggup menggunakan duit poket untuk membantu rakyat yang kesusahan kerana sifatnya yang sangat mengambil berat soal rakyat.
-Deasoka