Pembangunan modal insan untuk kesejahteraan rakyat

Pembangunan modal insan untuk kesejahteraan rakyat

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah akan merangka lebih banyak usaha menerusi pembangunan modal insan untuk kesejahteraan rakyat dan kemajuan berterusan di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, antara yang menjadi intipati penting adalah potensi pelajar yang dilihat sebagai tenaga penting untuk membangunkan negeri Sabah.

Katanya, pelbagai bantuan sudah disedialam dalam usaha membangunkan modal insan dan kesejahteraan rakyat Sabah.

“Antaranya membantu pelajar iaitu Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (Budi) dengan pemberian tunai RM2,000 secara ‘one-off’ kepada pelajar yang layak.

“Selain itu, ada juga Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (Bakti) sebanyak RM200 kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM),” katanya pada Majlis Ketua Menteri bersama Pelajar Cemerlang SPM 2020 di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), hari ini.

Majlis anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JKNS) yang diadakan secara maya itu disertai seramai 241 pelajar cemerlang SPM 2020.

Hajiji berkata, terdapat juga Bantuan Ihsan Komputer (Baik) membabitkan 10,000 komputer riba yang akan diagihkan mulai Julai ini selain Tabung Pendidikan Negeri Sabah yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Sementara itu, pada majlis sama, Hajiji turut berkesempatan berkongsi pengalaman manis dan pahit beliau sebagai ketua menteri.

Selain itu, beliau turut menjawab pelbagai soalan yang dikemukakan beberapa pelajar termasuk berkaitan isu semasa dan hala tuju pimpinannya untuk membantu pelajar di negeri ini.

-Deasoka

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|