Pasukan Pendakian Keluarga Malaysia Everest 2022 selesai latihan di Gunung Kinabalu

Pasukan Pendakian Keluarga Malaysia Everest 2022 selesai latihan di Gunung Kinabalu

Kota Kinabalu: Pasukan Pendakian Keluarga Malaysia Everest 2022 selesai menamatkan latihan lima hari empat malam di Gurkha Hut Gunung Kinabalu.

Ketua pasukan, Azim Afif berkata berikutan itu, pasukan berkenaan kini dalam persiapan fasa akhir untuk melaksanakan misi menawan puncak Gunung Everest pada April 2022.

Tun Juhar (tengah) membelek buku cenderahati sambil diperhatikan Azim (kiri) di Istana Seri Kinabalu. Pix ihsan Jabatan Penerangan

Katanya, misi berkenaan membabitkan penyertaan seramai 11 pendaki yang mewakili kaum utama di negara ini selain golongan orang kurang upaya (OKU).

“Pasukan kita dijangka akan berlepas ke Nepal pada 8 April 2022.

Tun Juhar (kanan) bersama Azim ketika kunjungan hormat Pasukan Pendakian Keluarga Malaysia Everest 2022. Pix ihsan Jabatan Penerangan

“Misi perpaduan ini disertai wakil Melayu, Cina, India, suku kaum Sabah dan Sarawak, OKU serta wakil Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Ini pertama kali kita mengabungkan wakil pelbagai kaum dan OKU yang akan menyertai misi menawan puncak Everest.

“Persiapan pasukan ini kini berada di fasa akhir, selepas menamatkan latihan di lima hari empat malam di Gurkha Hut Gunung Kinabalu.

“Seramai 11 orang pendaki dijangka akan menawan puncak Gunung Everest dalam misi kali ini,” katanya selepas kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, semalam.

Jelasnya, misi menawan puncak tertinggi dunia itu mahu menyampaikan mesej mengenai semangat perpaduan dalam kalangan penduduk Malaysia yang boleh digarap melalui sukan dan kehidupan.

Terdahulu, Tun Juhar turut menerima kunjungan hormat pengurusan syarikat berkaitan minyak dan gas, REPSOL Malaysia yang diketuai Pengurus Kanan Perhubungan Pemegang Taruh, Ahmad Fakhrurrazi Arshad.

Pada kunjungan itu, REPSOL menyampaikan sumbangan berjumlah RM15,000 kepada Yayasan Nur Jauhar (YNJ) yang diterima Pengerusinya, Brigedier Jeneral Al Hambra Juhar.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|