Pandemik Covid-19 punca calon sesi pemilihan skuad Piala Presiden kurang menyerlah

Pandemik Covid-19 punca calon sesi pemilihan skuad Piala Presiden kurang menyerlah

Kota Kinabalu: Kebanyakan calon pemain bola sepak yang hadir pada sesi pemilihan skuad Piala Presiden Sabah FC di beberapa lokasi baru-baru ini didapati kurang menyerlah dalam permainan.

Ketua Jurulatihnya, Jelius Ating, berkata hanya beberapa pemain yang hadir pada sesi pemilihan itu didapati berpontesi besar dan berbakat sekali gus boleh diserapkan ke dalam pasukan pada musim depan.

Beliau berkata, keadaan itu mungkin disebabkan kekurangan pertandingan atau kejohanan bola sepak dan ketiadaan latihan rapi ketika pandemik Covid-19 menyebabkan mereka yang hadir pada sesi pemilihan pemain kurang menyerlah.

Bagaimanapun, katanya sesi pemilihan akan diteruskan bermula pada 3 Januari hingga 4 Januari depan di Zon Tawau sebelum ke Zon Sandakan pda 5 Januari hingga 6 Januari depan.

“Masa pemilihan akan dijalankan dalam dua sesi iaitu pada jam 7.30 pagi hingga 10.30 pagi dan sebelah petang bermula jam 3 petang hingga 6 petang sebelum bersambung semula untuk sesi pemilihan akhir di Kota Kinabalu pada 8 dan 9 Januari depan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelius berkata pihaknya sudah selesai melaksanakan sesi pemilihan membabitkan lima zon utama bermula pada 13 Disember lalu hingga 21 semalam.

Katanya, sesi pemilihan itu dibantu penolong jurulatih, Burhan Ajui dan jurulatih penjaga gol, Jasrih Jabidin @ Jerry dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) di peringkat daerah serta Scouting Team yang diketuai Matlan Marjan.

“Kita sangat mengharapkan
pemain yang akan hadir pada sesi pemilihan itu nanti dapat menunjukkan prestasi terbaik sekali gus mampu memikat panel pemilihan untuk diserap sebagai pemain Skuad Piala Presiden Sabah FC untuk musim 2022.

Sebelum ini sesi pemilihan diadakan di Zon Beaufort, Keningau, Ranau, Kudat dan Kota Kinabalu.

“Mereka yang layak untuk menghadiri sesi pemilihan akhir di Kota Kinabalu nanti terpaksa bersaing untuk merebut tempat dengan pemain sedia ada dalam pasukan bawah 19 tahun 2021 yang kini sudah melebihi umur serta mereka yang masih berada di dalam skuad Piala Presiden musim 2021,” katanya.

Jelius berkata pada 8 Januari hingga 9 Januari depan, Kota Kinabalu dipilih sebagai lokasi pemilihan akhir pemain manakala 11 Januari 2022 dijangka akan bermula Latihan Pra Musim sebelum musim pertandingan berlangsung pada 24 Februari tahun depan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|