Panggilan tidak berjawab, ibu ditemui meninggal dunia dalam rumah

Panggilan tidak berjawab, ibu ditemui meninggal dunia dalam rumah

Kota Kinabalu: Kebimbangan seorang anak terhadap keadaan ibunya selepas panggilan telefonnya tidak berbalas berakhir tragedi apabila ditemui meninggal dunia di rumahnya di Taman Jaya Diri, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, wanita Jumiah Suradi, 65, yang tinggal seorang diri ditemui meninggal dunia selepas bomba terpaksa memecahkan pintu untuk masuk ke dalam rumah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 4.37 petang untuk menjalankan operasi memecah pintu masuk.

Katanya, sebaik berjaya dibuka, mangsa ditemui tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Difahamkan, anak mangsa cuba menghubunginya sejak semalam tetapi gagal dan sebelum itu mangsa juga ada mengadu sakit dan sesak nafas.

“Anak mangsa minta pertolongan daripada jiran untuk melihat keadaan ibunya namun mendapati pintu terkunci serta tiada jawapan dari mangsa di dalam rumah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Agustavia berkata, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, di kawasan perumahan sama, seorang lelaki berusia 80 tahun terpaksa dibantu dengan Bantuan Pernafasan Kecemasan (CPR).

Agustavia berkata, mangsa didapati tidak sedarkan diri namun pemeriksaan lanjut mendapati masih terdapat denyutan nadi.

Katanya, pihak KKM kemudiannya berusaha menyelamatkan mangsa sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|