11 warga asing diusir keluar dari perairan negara

11 warga asing diusir keluar dari perairan negara

Semporna: Seramai 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya dikesan ketika cuba memasuki perairan negara ini di Pulau Kulapuan, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, semua warga asing yang menaiki sebuah bot laju yang menggunakan enjin Yamaha 85 kuasa kuda dikesan Pasukan Polis Marin (PPM).

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintendan Mohammad Ismail berkata, sebaik ditahan, anggota PPM menemui seramai 11 penumpang membabitkan lelaki, wanita dan kanak-kanak.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut ke atas juragan dan penumpang mendapati semua mereka tidak memilik dokumen pengenalan diri yang sah.

“Pemeriksaan juga tidak menemui barang-barang yang menyalahi undang-undang di dalam bot laju berkenaan.

“Sebaik selesai membuat pemeriksaan, juragan dan semua penumpang diarahkan berpatah balik ke perairan Filipina dan diiring keluar dari perairan Semporna,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohamad berkata, tindakan itu diambil selaras dengan kehendak undang-undang mengikut Akta Kawalan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1998 bagi mengekang penularan wabak penyakit Covid-19.

Sehubungan itu, Mohamad berkata, PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang.

Katanya, semua maklumat boleh disalurkan secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 0139391197.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|