Lebih RM2 juta disalur untuk pembangunan wanita – Hajiji Noor

Lebih RM2 juta disalur untuk pembangunan wanita – Hajiji Noor

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri memperuntukkan RM1.83 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) bagi melaksanakan pelbagai projek dan program untuk pembangunan wanita pada tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata sebanyak RM700,000 pula diagihkan kepada Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) untuk tujuan yang sama menjadikan lebih RM2 juta diagihkan bagi pembangunan wanita di Sabah pada tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyampaikan Anugerah Usahawan Wanita Cemerlang kepada Datuk Rahmah Jan Sulaiman Khan.

Beliau berkata peruntukan itu membuktikan kerajaan negeri terus mengikhtiraf kepentingan dan sumbangan wanita dalam pembangunan negeri ini.

Katanya, seperti golongan lelaki, wanita turut menggalas tanggungjawab yang sama penting sebagai pemangkin pembangunan dan rakan kongsi strategik kerajaan dalam mencapai halatuju pembangunan negeri berkaitan wanita.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyampaikan Anugerah Usahawan Wanita Harapan kepada Pengasas Chanteek Borneo, Anne Antah.

“Justeru, kerajaan negeri akan terus memberi peruntukan bagi pembangunan dan menghargai kepentingan wanita dalam pembangunan di negeri ini.

“Sambutan Hari Wanita yang diadakan pada setiap tahun adalah tanda penghargaan dan pengikhtirafan kerajaan terhadap kepentingan dan sumbangan wanita di negeri ini, terutama ketika pandemik Covid-19.

“Kerajaan akan terus berusaha memastikan golongan wanita di Sabah sama ada di bandar atau luar bandar, berdaya saing dan mempunyai daya kreativiti serta inovasi yang tinggi, agar tidak ketinggalan dalam arus kemajuan ke arah mendokong aspirasi kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan Hari Wanita peringkat negeri 2021 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, semalam.

Yang turut hadir ialah isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir Shahelmey Yahya; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong; Pengerusi MPWS, Datuk Dr Tarsiah TZ Taman merangkap Pengerusi Induk Majlis Sambutan Hari Wanita peringkat negeri dan Pengarah JHEWA, Rusnah Kuyung.

Sementara itu, Hajiji mahu MPWS dan JHEWA berganding bahu untuk pembangunan wanita di Sabah terutama dalam tempoh pandemik Covid-19.

“Ini kerana wanita adalah tonggak pembangunan negara yang paling penting, bukan sahaja dari aspek sosial, politik dan ekonomi malah merangkumi segala aspek pembangunan negara.

“Saya berharap peruntukan yang diberikan dapat digunakan sebaiknya untuk mengadakan pelbagai program yang memberi manfaat kepada golongan wanita di negeri ini,” katanya.

Hajiji berkata kerajaan turut merakamkan tahniah kepada MPWS atas dua inisiatifnya yang memberi manfaat besar kepada wanita negeri ini iaitu Program Creating Millionaires Among Young Women Entrepreneurs (CreaM@YWE) dan Akademi Kepimpinan Wanita Sabah (AKWan).

“Saya dimaklumkan menerusi program CreaM@YWE, seramai 50 lagi usahawan wanita muda akan menyertai program ini pada tahun depan, susulan kejayaan program yang pertama pada 2018.

“Saya berharap lebih ramai usahawan yang berdaya maju dan komited dapat dilahirkan sekali gus menyahut seruan menjadi majikan atau ‘Job Creator’.

“Begitu juga menerusi projek AKWan yang julung kali di Sabah, ia akan menjadi platform untuk memperkasa wanita di negeri ini menerusi pelbagai program serta modul kepimpinan.

“Projek ini akan membabitkan pemimpin politik, korporat, badan bukan kerajaan (NGO), komuniti bandar dan luar bandar serta pemimpin muda dengan seramai 228 wanita akan terbabit dalam projek ini,” katanya.

Hajiji percaya dengan adanya projek itu, pembangunan Sabah khususnya melalui Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) akan lebih pesat dengan pembabitan wanita dalam kepimpinan dan membuat keputusan.

“Walaupun pada tahun ini negara masih berdepan pandemik tetapi syabas kepada MPWS kerana telah mengadakan sebanyak 12 webinar dalam pelbagai topik, terutama yang berkaitan cabaran dan cara menghadapi pandemik Covid-19 sepanjang tahun ini,” katanya.

Beliau turut menyampaikan anugerah kepada Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran), Datuk Masnah Matsalleh, yang menerima Anugerah Wanita Cemerlang sempena majlis itu.

Lima lagi penerima anugerah lain iaitu Anugerah Kepimpinan Wanita Luar Bandar diberikan kepada Maina Hailin @ Ambau; Anugerah Khas Individu Lelaki, Datuk Jalidar Abd Rahim; Anugerah Usahawan Wanita Harapan, Anne Antah; Anugerah Persatuan Wanita Harapan, Pertubuhan Wanita Sinar Sabah dan Anugerah Usahawan Wanita Cemerlang, Datuk Rahmah Jan Sulaiman Khan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|