Beberapa rumah di Kampung Tanjung Aru rosak, dilanda air pasang besar

Beberapa rumah di Kampung Tanjung Aru rosak, dilanda air pasang besar

Kota Kinabalu: Beberapa rumah yang dibina di atas air di Kampung Tanjung Aru Baru, di sini, rosak akibat air pasang besar malam tadi.

Kejadian yang bermula kira-kira jam 8 malam itu turut menyebabkan beberapa rumah dinaiki air menyebabkan 10 keluarga di kampung berkenaan terpaksa berpindah ke surau dan balai raya.

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memantau keadaan air pasang besar di perkampungan atas air di Kampung Tanjung Aru Baru malam tadi.

Seorang penghuni dikenali sebagai Jeffry, 40, berkata, kejadian ini bermula kira-kira jam 8 malam apabila jambatan yang menghubungkan rumahnya yang terletak dibahagian hujung mula dinaiki air laut.

Katanya, sejam selepas itu air mula memasuki rumahnya hingga memaksa dia mengarahkan ahli keluarganya berpindah ke surau berdekatan.

Anggota pengawal pantai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Kinabalu membuat pemantauan di kawasan sekitar Pantai Tanjung Aru yang dinaiki air semasa fenomena air pasang besar malam tadi.

“Ketika air laut mula menenggelami jambatan, saya terus mengarahkan isteri dan anak ke surau untuk berlindung kerana bimbang air akan masuk ke rumah.

“Tidak lama selepas itu, air mula menenggelami lantai rumah. Saya kemudian menyelamatkan harta benda sebelum keluar dari rumah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, malam tadi.

Katanya, kejadian fenomena air pasang besar ini setiap tahun berlaku dan menyebabkan rumah rosak terutama dibahagian dapur.

Seorang lagi penduduk dikenali sebagai Nizam, 41, berkata, ketika kejadian dia baru saja tiba dan melihat keadaan lantai rumahnya mula dinaiki air.

“Alunan air laut menyebabkan lantai perlahan-lahan tercabut dan dinding rumah turut rosak. Saya kemudian mengarahkan isteri dan dua anak keluar untuk menumpang rumah saudara.

“Saya tinggal di sini sudah lama dan memang setiap tahun air pasang besar ini berlaku tetapi tidaklah sampai masuk ke dalam rumah,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Kampung Tanjung Aru Baru, Awang Damit Awang Jahir berkata, seramai 10 keluarga yang terkesan selepas rumah dinaiki air dan ada rumah yang rosak dipindahkan ke surau dan balai raya.

“Sebanyak tujuh rumah yang terkesan dengan kejadian fenomena air pasang besar di kampung ini. Penghuni membabitkan 10 keluarga dipindahkan sementara menunggu air surut.

“Kejadian air pasang besar bermula kira-kira jam 8 malam hingga 10 malam. Selepas itu air mula surut. Namun saya mengingatkan penduduk di sini supaya sentiasa waspada kerana kejadian air pasang besar akan berlaku lagi,” katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan Laman Wed Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) berkata, paras air pasang laut, malam tadi, merekodkan ketinggian 191 sentimeter dan dijangka akan meningkat kepada paras 201 sentimeter menjelang lewat malam ini.

Dalam tinjauan itu juga, Pasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kota Kinabalu, dilihat sedang giat menjalankan operasi pemantauan terutamanya di lokasi berisiko antaranya Pantai Tanjung Aru berhampiran menara kawalan JPAM dan kawasan perkampungan sekitar.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|