Larangan sementara eksport besi buruk

Larangan sementara eksport besi buruk

Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri Sabah hari ini mengumumkan larangan sementara sebarang aktiviti eksport besi buruk.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, langkah itu bagi memastikan bahan mentah adalah mencukupi untuk mengekalkan operasi industri keluli tempatan di negeri ini.

Beliau berkata, larangan itu akan ditamatkan setelah mekanisme untuk pengenaan Cukai Jualan Negeri sebanyak RM200 per metrik tan ke atas eksport besi buruk, dirumuskan.

Jelasnya, dengan lebih banyak bahan mentah yang tersedia, ia akan melihat
pengeluaran bilet dan rebar yang lebih besar, seterusnya menstabilkan harga rebar, yang pada masa ini begitu tinggi menjadikan kos pembinaan di Sabah, mahal.

“Bagaimanapun, eksport logam sekerap seperti tembaga, aluminium, logam berharga seperti platinum, emas, titanium dan keluli tahan karat dikecualikan daripada larangan itu,” katanya.

Hajiji melalui kenyataan medianya hari ini turut menambah, Kabinet negeri mengambil keputusan berikutan terdapat kekurangan bahan mentah untuk pengeluaran bilet dan rebar di Sabah.

“Industri keluli memberi sumbangan besar kepada ekonomi Sabah dan pada masa ini menyediakan 500 pekerjaan dengan gaji bulanan purata RM2,000 setiap
pekerja.

“Oleh itu jika industri keluli kita berhenti beroperasi, kadar pengangguran negeri akan meningkat dan ini akan memberi kesan yang sangat negatif kepada ekonomi
kita terutama pada masa berlakunya pandemik COVID-19 ini,” katanya.

Katanya, bekalan bahan mentah yang mencukupi akan mendorong
pengembangan pelaburan, yang akan menyaksikan peningkatan kapasiti
pengeluaran dari 8,000 tan menjadi 18,000 tan sebulan.

Pengusaha kilang bilet tempatan juga merancang untuk melabur semula dengan membina satu lagi kilang di Pantai Timur yang akan menelan belanja kira-kira
RM20 juta.

“Aktiviti pelaburan tambahan bernilai RM60 juta ini akan memberi lebih banyak peluang pekerjaan kepada kira-kira 400 orang di Sabah,” katanya.

Oleh kerana sumber ini tidak dapat ditingkatkan dengan drastik kerana Sabah tidak mempunyai lombong besi, maka adalah amat kritikal untuk sebahagian daripada sumber ini dikekalkan di Sabah untuk menjadi nilai tambah.

“Larangan sementara itu juga sejajar dengan dasar industri Sabah di bawah Halatuju Sabah Maju Jaya untuk merangsang aktiviti pemprosesan hiliran nilai tambah tinggi.

“Lebih penting lagi, untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat Sabah,” katanya.

-Deasoka

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|