Kota Kinabalu: Keputusan seri 2-2 yang dicatatkan dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, menentang Sri Pahang FC, malam tadi, adalah prestasi kurang memuaskan.
Ketua jurulatih Sabah Football Club (FC), Kurniawan Dwi Yulianto berkata, pasukan Sabah FC sepatutnya mengambil peluang bermain di laman sendiri untuk mencatatkan kemenangan.
Katanya, berdasarkan persembahan malam tadi, banyak peluang yang gagal dimanfaatkan dengan baik menyebabkan pasukan Sabah FC gagal meraih tiga mata penuh.
“Sepanjang perlawanan ini, ada empat hingga lima peluang besar boleh menghasilkan gol namun gagal disudahi.
“Pasukan Sabah sepatutnya bangkit untuk memperolehi kemenangan, lebih-lebih lagi ketika beraksi di gelanggang sendiri,” katanya.
Kurniawan berkata, beliau bagaimanapun menghargai kerja keras pemain yang berjuang hingga minit terakhir sehingga dapat mengelak pasukan kecundang buat kali kedua berturut-turut.
“Saya menghargai kerja keras pemain kerana berjuang hingga minit akhir dan tahniah juga untuk Sri Pahang kerana mendapat satu mata tetapi terus terang kita memang tidak berpuas hati sebab sasaran kita adalah untuk menang,” katanya.
Dalam aksi malam tadi, penyerang import Sabah FC, Josip Ivancic menjadi penyelamat apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-94.
Gol berkenaan hadir seminit selepas pemain Sri Pahang, Abdul Malik Mat Ariff menjaringkan gol kedua Pahang sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 2-2.
Sementara itu, pengendali Sri Pahang FC, Dollah Salleh berkata, ini kali ketiga pasukannya dihampakan jaringan gol saat akhir yang menyebabkan usaha mengutip tiga mata tidak kesampaian.
Katanya, perlawanan bertemu Sabah FC sangat seimbang dan gol Sabah di minit akhir itu tidak sepatutnya berlaku.
“Ini perlawanan ketiga kita berdepan situasi seperti ini namun ia adalah kecuaian kita sendiri.
“Pemain patut tahu, satu minit punya hal mampu mengubah keputusan perlawanan. Pemain kita sepatutnya terus bertahan dan tidak leka,” katanya.
-Deasoka