Kerjasama berpasukan pastikan UMNO terus martabat rakyat: Raimi

Kerjasama berpasukan pastikan UMNO terus martabat rakyat: Raimi

Tenom: Kerjasama dalam pasukan amat memainkan peranan penting dalam memastikan perjuangan UMNO terus dimartabatkan bagi membela rakyat di negeri ini.

Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Raimi Unggi berkata, semangat setiakawan dan nilai ukhuwah di kalangan ahli serta jentera parti menjadi salah satu faktor utama untuk menterjemah perjuangan parti itu ke peringkat akar umbi.

Barisan UMNO yang turut hadir pada mesyuarat perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Tenom.

Menurut beliau, di dalam era teknologi zaman ini, kesiap siagaan ahli-ahli UMNO harus diperkemaskan lagi untuk menghadapi pelbagai cabaran di masa akan datang.

“Kerjasama dalam satu pasukan itu amat penting bagi semua kerana UMNO sememangnya terkenal dengan kekuatan akar umbinya namun kita tidak boleh pandang enteng dan terus berada di zon selesa.

Ahli Puteri UMNO Bahagian Tenom di Hotel Perkasa, Tenom.

“Pada zaman mencabar ini, zaman teknologi canggih ini, kita tidak terkecuali menghadapi segala cabaran termasuklah daya fitnah media sosial, khabar angin dan sebagainya untuk menggangu gugat kestabilan parti.

“Oleh yang demikian, suka saya ingatkan kepada ahli-ahli UMNO sama ada di peringkat kepimpinan dan akar umbi, kita harus rapatkan saf dan ukhuwah sesama kita untuk meningkatkan lagi keibawaan parti ini di negeri Sabah yang kita cintai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan mesyuarat perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Tenom di Hotel Perkasa, Tenom, semalam.

Mengulas lanjut, Raimi yang juga Ketua Bahagian UMNO Tenom itu terus meminta semua jentera dan ahli parti menyakini pucuk pimpinan untuk persediaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Jelasnya, Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini dilihat sebagai cerminan kekuatan UMNO yang masih, kekal dan makin diterima rakyat jelata.

“Lihatlah kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dan calon-calon UMNO pada PRN Melaka tempoh hari, ia sekaligus memperlihatkan parti ini berada di landasan tepat untuk memenangi hati rakyat pada PRU akan datang.

“Jangan kita lewa dan terus berada di zon selamat, gagahkan diri kita untuk berjuang demi anak bangsa kita,” katanya.

Dalam perasmian yang sama, beliau turut menyentuh mengenai perkara undi 18 tahun pada PRU-15 nanti di mana Raimi meminta agar ianya diperkemaskan bagi menyantuni golongan sasar, terutamanya di kalangan remaja.

” Undi 18 tahun ini juga penting, kerana merekalah yang bakal menjadi barisan pelapis kepada generasi pemimpin sekarang.

” Santunilah mereka, yakinkanlah mereka bahawa UMNO merupakan wadah perjuangan yang harus disertai dalam memastikan negara kita terus stabil lebih-lebih lagi selepas era pandemik Covid-19 ini.

“Banyakkan program-program dekat dengan mereka dan jangan lupa, mereka ini akan menggantikan tempat kita apabila sudah sampai saatnya nanti,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|