Kenduri punca kluster baharu

Kenduri punca kluster baharu

Kota Kinabalu: Sabah mengesan satu lagi kluster baru hari ini, disyaki berpunca daripada majlis kenduri kesyukuran.yang dihadiri keluarga dekat pada 3 Julai lalu.

Jurucakap COVID-19 bagi negeri ini, Datuk Seri Masidi Manjun berkata kluster itu dikenali sebagai Kluster Kg Pukak, Tuaran.

” Kes indeks merupakan lelaki, 47 tahun, bergejala demam, batuk dan selsema sejak 7 Julai, sebelum disahkan positif RTK-Ag 100 peratus pada 9 Julai.

“Daripada 55 kontak rapat yang disaring, 16 kes dikesan positif menjadikan jumlah kumulatif kes positif kluster ini sebanyak 17 kes,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, saringan melibatkan kontak rapat dari Kg Pukak, Kg Pinagon dan Kuarters Loji Air Telibong 1.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata sebanyak 657 kes positif COVID-19 baharu direkodkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 76,453 kes.

Terdapat dua kes kematian dilaporkan iaitu masing-masing dari daerah Kota Belud dan Tawau.

“Sebanyak 387 pesakit (58.9 peratus) positif berada dalam Kategori/Tahap 1 (tidak bergejala) dan 220 pesakit (33.5 peratus) dalam Kategori/Tahap 2 (bergejala tanpa radang paru-paru).

“Hanya satu pesakit berada dalam Kategori/Tahap 3 dan satu orang dalam Kategori 4. Sebanyak 48 pesakit atau 7.3 peratus masih menunggu penilaian kategori/tahap pengkelasan mereka,” tambahnya lagi.

Sementara itu, daerah Tenom kini telah berubah dari zon hijau ke zon kuning, menjadikan Tambunan satu-satunya daerah zon hijau di Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|