JPKK diingatkan tidak hanya fikir soal projek

JPKK diingatkan tidak hanya fikir soal projek

Tuaran: Pemimpin akar umbi di Sabah diingatkan supaya tidak menjadikan jawatan yang diamanahkan kerajaan kepada mereka sebagai batu loncatan untuk kepentingan diri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kedudukan seperti dalam Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bukan tiket untuk memikirkan soal projek semata-mata.

Katanya, kerajaan negeri tidak mahu ada pemimpin akar umbi seperti itu sehingga enggan bekerjasama dengan penduduk kampung, termasuk meminggirkan mereka yang tidak sehaluan dengan kerajaan.

“Sebaliknya kita perlu peka dengan setiap masalah penduduk kampung dan menyampaikan maklumat berkaitan bantuan kerajaan tanpa pilih kasih,” katanya pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi, Setiausaha dan Biro JPKK bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman di Dewan Seri Sulaman, hari ini.

Turut hadir ialah Pembantu Menteri Kewangan negeri, Jasnih Daya; Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Abdul Kassim Razali; Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Datuk Johari Saiman; Pegawai Daerah Tuaran, Sadan Hussin dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Sulaman, Murneh Lamsari.

Seramai 47 Pengerusi JPKK menerima watikah pelantikan masing-masing, iaitu 12 orang dari Mukim Serusup, 14 orang dari Mukim Indai dan 21 orang dari Mukim Tambalang membabitkan penambahan seramai 13 JPKK di beberapa kampung dan mukim.

Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, berkata pemimpin akar umbi, khususnya JPKK perlu menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan kerajaan dengan penuh dedikasi, jujur, prihatin, adil dan ikhlas.

Katanya, pelantikan mereka menerajui JPKK adalah satu amanah dan tanggungjawab besar yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin bagi mewakili suara rakyat di peringkat akar umbi.

Beliau berkata, pemimpin JPKK juga perlu sentiasa turun padang untuk mengetahui masalah penduduk di kampung atau mukim masing-masing.

Jelasnya, pelantikan pemimpin akar umbi termasuk JPKK adalah untuk membantu kerajaan negeri merealisasikan hasrat, aspirasi dan pelan pembangunan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang bermatlamat memulihkan semula ekonomi dan meningkatksn kesejahteraan rakyat di negeri ini.

“Ia termasuklah membantu kerajaan menyalurkan bantuan kepada penduduk kampung yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Kerajaan negeri membelanjakan kira-kira RM1.2 billion untuk membantu rakyat akibat pandemik Covid-19 termasuk bantuan wang tunai RM300 seorang secara one-off, bantuan bakul makanan dan lain-lain,” katanya.

Hajiji berkata, JPKK juga memainkan peranan penting untuk memberi penerangan dan menjelaskan agenda pembangunan yang dirancang dan dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kepada rakyat di semua kawasan.

Sehubungan itu, beliau mahu JPKK menunaikan tugas dengan penuh bertanggungjawab agar rakyat mendapat manfaat daripada setiap bantuan dan pembangunan yang dibawa kerajaan, selain memastikan perpaduan dan kehormonian rakyat sentiasa terjaga.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|